Cinta ILAHI, Celik Hati, Tajam Aqli,

Terbina Peribadi...


October 04, 2009

Misi Menjalin Ukhuwwah Menjana Taqwa

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:


“Seseorang Muslim itu adalah saudara Muslim yang lain. Dia tidak menzaliminya dan tidak menyerahkannya (kepada musuh), barangsiapa yang menunaikan hajat saudaranya nescaya Allah akan menunaikan hajatnya, dan barangsiapa yang menghilangkan daripada seorang Muslim satu kesusahan nescaya Allah akan menghilangkan satu kesusahan daripada kesusahan-kesusahannya pada hari kiamat kelak, dan barangsiapa yang menyembunyikan (keaiban) seorang muslim nescaya Allah akan menyembunyikan (keaibannya) pada hari kiamat.” – Riwayat Bukhori dan Muslim

Aidil Fitri tahun ini disambut dengan semangat luar biasa kerana DIA mengurniakan bukan sahaja kehidupan baru untukku dan anak-anak, malahan tersedia peluang dan ruang menjalin silaturrahim dengan orang-orang baru sebagai saudara seaqidah yang selama ini tersembunyi di daerah yang hanya DIA yang tahu. Alhamdulillah. Moga ukhuwwah ini terbina demi menuju destinasi utama, mardhatillah.

16 Syawal 1430H- Jalinan ukhuwwah hikmah Aidil Fitri di Setapak, KL.

Kesesakan jalan raya di MRR2 dan arah perjalanan yang penuh 'misteri' tidak mencacatkan sedikitpun niat untuk menjalin ukhuwwah petang Ahad lalu (misteri kerana pemandunya adalah termasuk dalam golongan 'buta Kuala Lumpur', he3). Menempuh kesesakan dan mencari arah yang betul walaupun sedikit gusar dan terganggu namun apabila mengenangkan betapa besarnya fadhilat menjalin silaturrahim hilang segala kegusaran minda. Sesungguhnya hikmah Aidil Fitri sangat besar dalam menjalin ukhuwwah yang baru dan menyambung ukhuwwah yang terputus.
Menghayati alam Tuhan bersama suami tercinta...

Terima kasih Tuhan kerana mengurniakan bagiku kehidupan baru ini. Walaupun minda sedarku kerap mengingatkan bahawa yang menunggu dan tersedia didepanku adalah ujian demi ujian, aku tetap teguh dengan keyakinan bahawa Engkau lebih tahu apa yang terbaik untuk diriku. Justeru, minda sedar itu akan disokong dengan strategi demi strategi untuk melalui ujian-ujian yang bakal datang. Oleh itu, Tuhan...Persediaan utamaku pastilah seperti sebelum ini ketika dilanda keperitan perasaan...Husnuz Dzan terhadapMu. Mana mungkin Pencipta akan menganiaya ciptaanNya sendiri. Demi mengharap kasihMu...Aku sedia.

Misi Menjalin Ukhuwwah Demi DIA

Misi membina ukhuwwah adalah misi besar, misi aqidah. Tersedia ruang yang luas untuk memberi bukan menerima. Memberi demi dakwah. Oleh itu, ia bukan sebarangan misi. Jika misi ini dilaksanakan tanpa landasan ilmu dan kemahiran, nescaya timbullah matlamat tidak menghalalkan cara. Ruginya...

Aku ingin mengingatkan diri sendiri di sini, selalu menetapkan niat yang betul dan benar dalam menjalin ukhuwwah; dan membetulkan kembali niat yang tersasar. Strategi-strategi memaksimakan 'output' ukhuwwah perlu sangat kita perhati dan amalkan. Mari kita berkongsi...

  1. Cinta semata-mata kerana Allah: Kerana tidak ada kepentingan duniawi di sebaliknya. Allah berfirman di dalam hadis qudsi: Orang-orang yang berkasih sayang kerana keagunganku bagi mereka mimbar-mimbar daripada cahaya, mereka dicemburui oleh para nabi dan orang-orang yang mati syahid (syuhada’).
  2. Berlapang dada: Ia adalah cara yang sangat berguna supaya dapat menerima apa yang dilakukan oleh orang lain tanpa rasa dengki, benci, berniat jahat atau buruk sangka. Begitu juga, supaya kita mampu bersangka baik terhadap saudara-saudara kita. Rasulullah S.A.W. bersabda yang bermaksud: Janganlah kamu saling memutuskan hubungan, saling belakang membelakangi, saling benci membenci serta saling berdengki, dan jadilah hamba-hamba Allah yang bersaudara, tidak halal bagi seorang muslim untuk tidak bertegur sapa dengan saudaranya lebih daripada tiga (hari).
  3. Saling nasihat menasihati dan berpesan-pesan: Sesungguhnya seorang Muslim itu tidak melalui jalan yang aman, akan tetapi dia menempuhi jalan yang penuh dengan kesusahan, liku-liku, halangan dan tipudaya. Selain itu, syaitan manusia dan jin sentiasa menggangu dan menggodanya. Justeru, di dalam menempuhi jalan tersebut, dia sangat memerlukan teman yang mendidik, membimbing, menasihat dan mengingatkannya ketika terlupa dan membantunya ketika ingat. Benarlah firman Allah S.W.T. : “Demi masa. Sesungguhnya manusia berada dalam kerugian. Kecuali mereka yang beriman, beramal soleh, dan berpesan-pesan pada kebenaran jua berpesan-pesan pada kesabaran.”

    Namun begitu, kita perlu menitik beratkan beberapa adab di dalam memberi nasihat dan pesanan:

    • Memberi nasihat dalam keadaan tersembunyi dan bukan di khalayak ramai.
    • Berhikmah (sesuai dengan keadaan) dan menggunakan kata-kata yang baik.
    • Berlemah lembut di dalam memberikan nasihat.
  4. Mengetahui kebaikan dan kelebihan saudara kita: Allah berfirman yang bermaksud, “Dan janganlah kamu lupa kebaikan di antara kamu.” (Al-Baqarah). Seseorang itu akan mampu menyayangi, menerima dan mematuhi seseorang yang lain dengan mengetahui kelebihan dan kebaikan yang terdapat padanya.
  5. Berterus terang: Kerana ia mampu menghilangkan perasaan-perasaan yang boleh mengeruhkan ikatan ukhuwwah dengan syarat ia dilakukan dengan adab-adabnya dan cara yang betul. Justeru, seorang Muslim seharusnya berterus terang dengan saudaranya tentang apa yang terdapat di dalam hatinya kerana mungkin dengan cara itu dia dapat menyembuhkan keresahan hatinya yang pasti akan memberi kesan kepada kelapangan dadanya.

    Kita seharusnya mengambil pengajaran tentang perkara tersebut daripada sirah Baginda Rasulullah S.A.W. dan sahabat-sahabatnya. Semasa Bai’ah Aqabah yang kedua, Abu Haisam bin Attihan berterus terang serta meminta pandangan daripada Rasulullah tentang sesuatu yang berlegar di fikirannya lalu dia berkata: Wahai Rasulallah, sesungguhnya kami mempunyai hubungan sebelum ini dengan orang-orang Yahudi dan kami akan memutuskannya. Justeru, jika kami melakukan sedemikian, kemudian Allah mengurniakan kemenangan kepadamu maka adakah engkau akan meninggalkan kami? Lalu Nabi S.A.W. menjawab sambil tersenyum: Bahkan darah, darah dan kebinasaan, kebinasaan (bagi orang-orang Yahudi). Aku adalah di kalanganmu dan kamu semua adalah di kalanganku, aku memusuhi sesiapa yang kamu musuhi dan tidak akan memusuhi sesiapa yang kamu tidak musuhi.”

  6. Bertolak ansur dan berlemah lembut: Ia seharusnya menjadi akhlak seorang pejuang Islam walaupun terhadap orang yang menzaliminya.
-sekalung terima kasih dan salam ukhuwwah buat ismamesir.com, perkongsian stategi-strategi di atas.

Dr. Abdullah Nasih Ulwan mengatakan “ Ukhuwah merupakan kekuatan iman yang melahirkan perasaan kasih sayang yang mendalam, cinta, penghormatan dan rasa saling tsiqah (baca; saling percaya), terhadap seluruh insan yang memiliki ikatan aqidah Islamiyah yang sama dan juga yang memiliki cahaya keimanan dan ketaqwaan...“

Salam Ukhuwwah
~Ummu Ihsan






















No comments: