Cinta ILAHI, Celik Hati, Tajam Aqli,

Terbina Peribadi...


September 24, 2008

Meriahnya Masjid UKM!


25 Ramadhan hari ini, lagi 5 hari bulan 'istimewa' ini akan pergi. Entah dapat berjumpa kembali tahun hadapan entah tidak. Tiada apa yang pasti dalam hidup ini melainkan KEMATIAN. 10 hari terakhir ini aktiviti di tempat kerja semakin menjadi-jadi sibuknya, abah pula gering kuat di kampung.


Aduh...apa cerita 10 malam terakhirku ini? Adakah aku termasuk golongan yang disebut Nabi sebagai orang-orang yang rugi kerana datang dan berlalunya Ramadhan tidak dapat mengampunkan dosa-dosaku dan melepaskan diri dari api neraka. Malang sungguh aku jika bercakap lebih cantik dari berbuat.



Dalam duka mengenang diri yang 'cacat' Ramadhan ini, kedatanganku ke Pejabat Aman Palestin petang Selasa lalu rupanya membuka ruang 'ibadat'. DIA dengar keluh kesah dan kesalnya aku jika Ramadhan meninggalkanku sebagai orang yang rugi. ALHAMDULILLAH!

Fanie yang bertugas di pejabat Aman Palestin telah mempelawaku untuk bersama ke Masjid UKM dalam program iktikaf 10 akhir Ramadhan. Bak kecil tapak tangan nyiru kutadahkan, tanpa bantuan fakulti mental dan kognitif, hatiku yang membuat keputusan. JOM!



Meriah sungguh masjid itu. Kagum aku dengan semangat dan ibadat adik-adik siswi dan siswa UKM yang berada di masjid. Lebih kagum aku, apabila memandang ibu muda bersama 2 anak kecil gagah 'beriktikaf' di masjid. Cantiknya, anak-anaknya tidak langsung meragam. Moga besar nanti mewarisi semangat 'masjid' ibu dan ayahnya.


Hannan adalah orang yang paling seronok.Mulutnya yang peramah telah menarik perhatian dan kasih sayang kakak-kakak siswi di situ. Lepas seorang ke seorang di 'interviewnya'. Kakak-kakak belanja gula-gula lagi! Berbuka dan bersahur di masjid, Hannan pasti bersama kakak-kakak itu. Semua kenal dan menyapa Hannan. Ummi sudah hilang dari 'dictionary' Hannan.


Berbuka berjemaah, berniat iktikaf, membaca kitabNya, berterawih, tidur, qiamulail, dan bersahur di Masjid UKM. Balik ke rumah selepas berjemaah Subuh. Cool!


Mengalirkan airmata sesal atas segala dosa (yang terlalu banyak!), memohon maghfirah, agar pintu makrifatullah terbuka lebih luas, merayu-rayu agar tidak dicampak ke api 'Jahannam' itu. Merayu-rayu adalah set dan pola komunikasi yang tepat dengan DIA. Kerana DIA itu 'SUPERIOR', DIA itu 'BOSS', DIA itu 'MAHARAJA'.


Wahai Tuhan yang mengampunkan segala dosa, sesungguhnya aku telah menzalimi diriku sendiri dengan kezaliman yang terlalu banyak, tiada siapa dapat mengampunkanku melainkan ENGKAU, ampunilah aku wahai Tuhan...


Wahai Tuhan yang pengasih dan penyayang, lepaskan aku dari azab neraka dan azab kubur kerana aku ini lemah wahai Tuhan. Aku tidak akan mampu menahan dan menerima siksaMu. Kasihani aku wahai Tuhan...


Wahai Tuhan yang maha besar, kurniakan aku rezeki dari atas, bawah, jauh dan dekat. Jemput dan terimalah aku untuk menghadapMu di bumi Haram sana. Aku rindu Masjid haram, Masjid Nabi dan Al-Aqsa. Rezekikan aku melepaskan rindu pada 3 masjid yang kau cintai itu sebelum tiba saat akhir nafasku...


Rantaian doa bergabung dengan rantaian airmata kesal dan rindu. Moga ada tempatku di sisiMu. Ameen...


Moga Kau limpahkan rahmat dan nikmat keampunan dan lepas dari api neraka kepada Jawatankuasa Masjid UKM yang mengusahakan program iktikaf ini. Barakallahu alaikum!













September 21, 2008

Pemburu Malam Kemuliaan!

Pemburu malam kemuliaan itu sudah bersedia dengan laras senjata dan kemahirannya,
demi menagih janji Sang Penganugerah, ada hadiah bagi yang cemerlang dan gemilang,
hadiah sangat lumayan, kalah emas dan permata beribu tempayan,
bagi satu buruan jaya, hadiahnya dinilai lebih seribu kali ganda.

Sungguh Sang Penganugerah bijak berpsikologi,
Hasil buruan disembunyi agar meningkat motivasi,
Memburu bukan sekadar memuaskan hobi,
semangat tinggi demi capai ampunan Ilahi.



Sang Penganugerah telah bicara,
Malam itu dikurnia kebaikan lebih dari 8 dekad,
Untungnya pemburu itu jika bijak memikat,
malam yang jauh akan jadi dekat.


Maka, pastilah pemburu bijak tidak akan lupa,
Semangat, ilmu dan kemahiran tidak akan sempurna,
tanpa memohon pada Sang Penganugerah juga,
agar malam itu buruannya berjaya...

Ameen...
-ummuihsan
mlm 23 Ramadhan 1429H





September 15, 2008

Palestin oh Palestin...Kenapa Palestin?






Seorang teman bertanya, "kenapa perlu bantu Palestin?".

"Negara kita sendiri banyak yang perlu bantu, kenapa Palestin?", gusarnya lagi.

"Anak-anak remaja kita ni lagi perlu dibantu, kenapa tak buat yang itu", gundah sungguh temanku ini.

"Iraq, Afghanistan, Sudan pun susah juga, kenapa Palestin sahaja dibantu?", teman yang lain pula bertanya.

Banyak sebenarnya persoalan-persoalan begini di luar sana. Bagi mereka yang terlibat secara aktif atau secara tidak langsung dalam pertubuhan-pertubuhan sukarela membantu derita Palestin dan mereka yang faham signifikan dan relevan antara Palestin, Baitul Maqdis dan Al-Aqsa dengan Islam, soalan-soalan yang sedaya upaya cuba dijawab adalah:

"Apa yang aku boleh lakukan untuk membantu?".


Kenapa Palestin?



Isu Palestin adalah isu umat Islam sejagat. Kenapa tidak, di situlah letaknya Masjid Al Aqsa yang merupakan qiblat pertama umat Islam dan tempat berlakunya peristiwa Isra’ dan Mi’raj. Masjid ini adalah masjid yang ke dua dibangunkan di muka bumi selepas Masjidil Haram dan merupakan masjid yang ke tiga suci di sisi Allah swt. Di bumi inilah telah dihantarnya para nabi secara berkesinambungan termasuklah Nabi Ibrahim, Nabi Sulaiman, Nabi Daud, Nabi Musa, Nabi Isa dan lain-lainnya untuk mengajak manusia agar beriman kepada Allah, Tuhan yang Esa.

Bumi ini telah dijajah silih berganti oleh bangsa Yahudi, Rom dan Parsi sehinggalah ianya dibuka kembali oleh Umar al Khattab yang telah mengistiharkan bahawa bumi ini adalah tanah wakaf milik umat Islam sehingga ke akhir zaman. Selepas itu, Palestin terus dinaungi keamanan dan keadilan di bawah pemerintahan Islam untuk ribuan tahun kecuali di abad ke 12 Masihi apabila bumi ini dinodai dengan kekejaman tentera salib. Namun Palestin telah dibebaskan semula oleh Solahuddin al Ayyubi yang berketurunan Kurdi. Tidakkah semua ini menjadi bukti yang kuat bahawa isu Palestin bukan sekadar isu orang Palestin sahaja, bukan isu orang-orang Arab sahaja bahkan isu Palestin adalah isu kita, isu umat Islam sejagat?

Silalah lawat http://www.amanpalestin.org untuk membaca lebih lanjut tentang isu Palestin ini. Jejakilah sejarah kemuliaan Palestin dan kisah deritanya bagi memantap keyakinan tentang bumi barakah yang dijanji Allah ini.


Mengenal Kepentingan ('Priority'), Jejak Sejarah & Sumbangan Kendiri



Mengetahui tingkat kepentingan sesuatu perkara adalah satu sumber terpenting dalam menetapkan sesuatu keputusan, dalam apa bidang dan aspek sekalipun. "To prioritize"; "fiqh al-aulawiyyat"-berilah bahasa apa pun, makna tetap satu...menentukan yang terutama dari senarai yang penting.

Apa agaknya unsur terpenting dalam hidup kita sebagai muslim dan mukmin? Bukankah ikatan dan simpulan keyakinan yang kita junjung melalui manifestasi syahadah, solat, puasa, haji dan zakat inilah yang menjadi akar 'pokok' kehidupan kita. Itulah aqidah. Amalan-amalan 'aqidah' ini pula bersandar kepada sistem kepercayaan bermula daripada iman kepada Allah, malaikat, rasul, kitab, hari kiamat dan qada' dan qadar.

Maka, teman-temanku jika kita iktiraf diri muslim dan usaha menjadi mukmin, adakah tega kita tinggalkan negara yang dijejaki oleh kaki yang dicintai Nabi kita semasa isra' mikraj, bumi yang juga bumi anbiya', kepada 'binatang bertopeng manusia' yang dengan rakus memijak-mijak kesucian masjid kiblat pertama kita? Fikir dan cari jawapan dalam diri...

Mana bukti syahadah kita? Apa bukti iman kepada Nabi yang kita pegang? Bukankah salah satu manifestasi cinta itu pertahan dan berkorban? Zikir dan fikir, jawapannya ada dalam diri-diri yang mencintai Allah dan Rasul...

Justeru, memilih yang terutama daripada lokasi-lokasi sengsara untuk menyumbangkan sedikit usaha adalah salah satu keputusan yang ummi pilih. Tidak salah juga membantu lokasi-lokasi lain, tetap jua dikira amal soleh. Nilainya biarlah DIA yang tentukan, kita rancang dan usahakan apa yang mampu.

Mari ambil iktibar dari kisah si burung kecil yang membawa air dengan paruhnya untuk membantu Nabi Allah Ibrahim yang dibakar oleh sang raja zalim. Logiknya, api yang marak dan marah itu tidak mungkin terpadam dengan air dari paruh si kecil itu. Namun, DIA menilai, dan penilaianNya jauh sekali dari logik minda kita yang terhad ini. Sesuatu amal itu dinilai pada niat, usaha dan ikhlas bukan pada outputnya, walaupun output yang cemerlang sangat diraikan.

Mari kita baca dan kaji sejarah. Di sana kita akan jumpa diri kita dan kita bakal mengenal kepentingan dalam membuat keputusan. Kaji sejarah negara barakah Palestin ini yang disebut dalam Quran, hadith, wasiat oleh para Sahabat dan Ulama'. Kata seorang pengkaji dan aktivis Palestin: "Sesiapa yang tidak membaca sejarah, dia tidak mungkin akan mengukir sejarah."

"Mengapa tidak tolong remaja negara kita yang 'sakit' bermacam gejala sekarang. Siapa pula nak buat yang itu jika kita tolong Palestin sahaja", luah teman Ummi itu.

Siapa pula yang asyik bantu Palestin SAHAJA? Bukankah bermacam pertubuhan yang kita lihat sedang usaha bantu remaja kita. Kita ada ABIM, JIM, ISMA, Nisa', Unit Amal dan lain-lain yang giat dengan bermacam aktiviti membantu remaja kita. Bagi Ummi sendiri, tugas sebagai Kaunselor di Sekolah Menengah ini jua menjadi wadah berdepan pelbagai isu remaja kini dan Ummi usahakan yang termampu dari sudut profesionalisme.

Nak Ummi juga yang tolong remaja di luar sana? Jangan sibuk dengan palestin sahaja? Jika begitu Ummi akan jadi seperti Mat Jenin yang lemas bersama labu-labunya...Manusia ini terhad kemampuannya, teman. Walaupun mahu nya luas tak bertepi.

Temanku...Ummi fikir yang terbaik ialah kita ubah gaya berfikir ke sudut yang baru. Tanya diri apa yang kita dah perbuat, dan apa yang kita boleh buat. Raikan orang lain dengan kelebihan dan peranan masing-masing. Usah risau output usaha kita, fikirkan input yang mampu kita beri. Berfikir begini bakal mengundang ketenangan!

Dunia ini sudah terlalu tua teman! Tidak padan untuk kita asyik bertanya apa yang orang lain dah buat, dan kita leka dengan urusan peribadi yang tidak mungkin ada khatamnya. Apa kata kita bergerak walau sedikit demi sedikit, bantu diri kita untuk membantu orang lain. Salam Perjuangan! Salam Ramadhan!

Wasiat Dr. Sayyid Nuh


Sejak 15 Mei yang lalu, telah genaplah 60 Tahun Nakbah (malapetaka) yang berlaku di Palestin. Hal ini telah menunjukkan kepada kita betapa sedikitnya usaha kita dalam membantu pembebasan rakyat Palestin. Di sini ada dinukilkan wasiat Dr. Sayyid Nuh berkenaan isu Palestin sebelum beliau kembali ke rahmatullah untuk dijadikan pedoman buat diri kita dan seluruh umat Islam khususnya. Hayatilah wasiat ini dengan sepenuh jiwa dan perasaan serta dipraktikkan dalam kehidupan kita seharian.

“Al-Aqsa adalah amanah di atas leher umat ini bermula sejak peristiwa Rasulullah s.a.w. isra’ dan mikraj. Ia adalah amanah yang kita tanggung dan kita masih menanggungnya. Sebarang kecuaian di dalam amanah ini akan membuka pintu kejahatan yang tiada batasnya di dunia. Ada pun di akhirat kita akan ditanya oleh Tuhan, Empunya segala kemuliaan tentang ilmu yang kita ketahui dan kewajipan kita terhadap al-Aqsa."

September 11, 2008

Bengkel Dakwah dalam Masyarakat Majmuk

Saudara Kamarul Zaman b. Noor Mohamed menyampaikan
Kertas Kerja 1 : Kewajipan Berdakwah


Pada hujung minggu yang lalu, 7 September 2008 di Masjid Negeri Selangor, ummi berasa bertuah menjadi salah seorang peserta dalam Bengkel Dakwah dalam Masyarakat Majmuk yang dianjurkan oleh Biro Dakwah, JIM Petaling.

Bengkel ini sebenarnya adalah lanjutan dari Seminar Cabaran Agama-Agama Dunia yang telah diadakan pada bulan Jun lalu di Shah Alam. Seminar tersebut telah mendapat sambutan yang sangat menggalakkan, justeru sesi lanjutan dicadang dan direalisasikan dengan Bengkel ini.

Slot pertama diisi oleh Saudara Kamarul Zaman b. Noor Mohamed dari Hidayah Centre, JIM. Beliau berpengalaman sebagai aktivis dakwah di negara ini. Menarik dan hebatnya dengan Saudara Kamarul Zaman ini adalah aktiviti dakwahnya dikongsi bersama zaujah tercinta...Keluarga Sakinah!

Saudara Kamarul Zaman ternyata menjadi 'modul bergerak' bagi peserta kerana teori-teori dakwah yang dikongsi sudah menjadi 'irama dan lagu' dalam dirinya berdasarkan pengalaman yang telah dipraktikkan dalam kegiatan dakwahnya. Real! Antara pesanan dari Saudara Kamarul Zaman yang terpahat dan menarik minat ummi adalah:

"Saya tidak lagi berminat dengan mana2 MLM setelah saya kenal MLM dakwah ini. Allah janjikan gandaan pahala 700% untuk kerja amar makruf nahi mungkar ini. Mana ada syarikat MLM yang sanggup beri sebanyak ini."

"Kita terlalu berprasangka terhadap non-muslim ini, cina, india dan lain2. Bila jumpa orang cina maka tak boleh cerita tentang Islam. Sedangkan mereka hendak mendengar yang benar dari kita."

Seronok mendengar pengalaman-pengalaman Saudara Kamarul Zaman ini. Bertambah suntikan semangat ummi untuk berada dalam 'laluan berliku' ini. Jika beliau boleh mengapa tidak kita?

Saudara Johanes Lukas (Yahya Luqman) dalam slot ke 2:
Mengapa Saya Pilih Islam - saudara baru yang unggul
kerana Islam!

Slot ke 2 adalah perkongsian pengalaman bersama Saudara Johanes Lukas (dalam Bahasa Arab bermaksud Yahya Luqman). Beliau adalah bekas penganut Roman Katholik. Mendapat hidayah Islam setelah mengkaji Al-Quran. Segala persoalan yang tersimpul dalam mindanya berjaya terungkai setelah memahami Al-Quran.

Beliau telah berkongsi kisah suka dukanya serta detik-detik mencabar dalam usaha mewar-warkan keislamannya kepada keluarga. Satu perkara yang membuat ummi kagum:

"Saya merahsiakan awal keislaman saya. Tetapi, keluarga perasan perubahan saya terutamanya perangai saya yang jadi lebih mesra, lunak dan hormat terhadap ibu bapa dan kakak. Setelah memeluk Islamlah, saya mula salam dan cium ibu, salam dan cium tangan kakak. Ibu terperanjat, kerana saya adalah seorang yang panas baran dahulu dan tidak mesra dengan keluarga"

MasyaAllah, cantik sungguh Islam telah lakukan terhadap akhlak Saudara Johanes ini. Beliau bukan semakin jauh dari keluarga setelah Islam, malah semakin rapat dan mesra. Jadi, tentangan keluarga yang didepani telah beliau harungi dengan menunjukkan syiar keindahan akhlak islami. Terfikir ummi: "Aku?"

Saudara Aizuddin Nuruddin dalam slot ke 3: Teknik Dakwah
kepada non-muslim

Slot ke 3 agak formal dan berat. Isunya tertumpu pada sudut ilmu dakwah itu sendiri. Rujukan adalah daripada Usul Dakwah oleh Karim Zaydan. Perkara-perkara berkaitan dakwah seperti rukun, unsur, hala tuju, asas, kitaran dakwah dan sifat daie diterangkan. Saudara Aizuddin merupakan JK Dakwah JIM Pusat yang juga berpengalaman dalam kegiatan dakwah di negara ini.

Bengkel berehat tengahari itu untuk solat zuhur dan disambung semula dengan slot2 yang lebih menarik dan MENCABAR! Selepas solat peserta terlibat secara langsung dalam sesi 'role play' dakwah. Peserta yang membuat 'role play' antara daie dan mad'u akan dikomen oleh penceramah2 yang ada.

Ummi bersama Ustazah Hidayah telah mencuba ilmu yang tak seberapa di hadapan peserta lain. Hebat betul Ustazah ni jadi mad'u. Jenuh juga ummu nak menjawab persoalan2 powernya yang bersifat memerangkap! Hasilnya, kami dikomen jika disoal dengan isu2 sensitif dan kontroversi maka tukarkan ancaman tersebut menjadi peluang. Keluar dari isu tersebut dan kembali kepada matlamat asal dakwah itu.

Slot terakhir yang buat kecut perut para peserta akhirnya tiba juga. Peserta diberi kumpulan untuk menjalankan 'field practical'! Kumpulan ummi bergerak ke Jaya Jusco, Bukit Raja , Klang. Ummi, Yus, Kak Ram, Kak Fuziah dan Faizah berbincang dan memberi 'task' masing-masing. Ummi bergerak bersama Yus. Wow! First time ni perasaan jadi haru biru, kecut, panik, seronok, semua ada.

Ummi dan Yus mendekati seorang wanita muda yang sedang memilih-milih barang.

"Excuse me, miss", ummi memulakan.

"Maaf, boleh beri kami lima minit untuk jalankan sedikit survey?", dengan senyum ummi memohon dengan sopan.

Seterusnya perbualan berlanjutan antara kami dan wanita tersebut, seorang penganut Kristian dari Sarawak. Menariknya, bila disoal apa yang beliau tahu tentang Islam, tanpa ragu beliau menjawab bahawa Islam adalah agama yang suci. Berbunga-bunga di hati mendengar jawapannya. Taklah seperti yang ummi sangka.

Kami mendekati 10 orang dan hasilnya 2 orang menolak untuk temubual dan 8 orang memberi 'respons' yang sangat baik. Rupanya, orang-orang non-muslim di luar sana nak tahu tentang Islam, tapi kita tidak berbuat apa-apa. Masya Allah!

Dalam masa kurang dari 1 jam, kami dapat mendekati 10 orang. Hebat juga (perasan sendiri!).
Kami berkumpul semula di Bilik Seminar, Masjid Negeri dan sesi muhasabah dijalankan bersama penceramah2. Slot praktikal itu dilihat dari sudut sebab2nya mengapa terjadi ditolak atau diterima. Antaranya faktor kemahiran komunikasi dan isi temu bual tersebut. Satu perkara yang mungkin menjadi faktor penolak ialah imej dan penampilan termasuklah pakaian daie.

Apa-apa pun, ummi berasa bertuah dan bersyukur dapat mengikuti Bengkel ini sehingga akhir. Ini ilmu dan kemahiran baru bagi ummi.

Bagaimana anda? Moh kita...

Bengkel ke2 akan menyusul...


"There is an island of opportunity in
every diffuculty"

September 10, 2008

Pesanan Ustaz!


Salam Ramadhan...

Ummi suka nak share pesanan daripada Ustaz Zaharuddin ini...

Mari bersama kita buat perubahan dalam Ramadhan dan luar Ramadhan...


Lagi Kesilapan Umat Islam Dalam
Bulan Ramadhan & Luar Ramadhan


Oleh : Zaharuddin Abd Rahman
http://www.zaharuddin.net/


Alhamdulillah, sudah hampir seminggu kita berpuasa dan menjalankan pelbagai ibadah di bulan penuh keberkatan dan keampunan ini. Moga kita sama-sama dapat mempergandakan usaha bagi membersihkan hati dan jiwa yang kerap tercemar dengan pelbagai dosa setiap hari.
Jika sebelum ini saya telah mendedahkan beberapa kesilapan kerap umat Islam pada bulan Ramadhan agar ianya dapat dijauhi sebaiknya, kali ini saya berhasrat untuk membuat beberapa penambahan lagi sebagai panduan bagi rakan-rakan umat Islam yang dikasihi sekalian.
Tanpa mengetahui yang salah, umat Islam mudah terjebak melakukan dosa-dosa ini, dan sebahagiannya bukan suatu dosa kecil yang boleh dipandang ringan. Awas dan segeralah melakukan koreksi jika kita pernah melakukannya di bulan Ramadhan.
Berikut adalah beberapa lagi kesalahan kerap yang berlaku terutamanya di bulan Ramadhan, ia juga adalah suatu kesilapan di luar Ramadhan juga:-


1) Berjalan di hadapan orang yang sedang solat ;
Sebagaimana yang kita lihat, di bulan Ramadhan ini ramai individu yang amat jarang menunaikan solat di masjid akan hadir berbondong-bondong ke masjid bagi memperolehi pahala sunat tarawih. Hasilnya, ramailah orang yang kurang ilmu, tidak faham adab dan tatacara di masjid juga telah hadir.
Menurut pengalaman di masjid-masjid dan surau, saya dapati terlalu ramai individu yang lalu lalang di hadapan orang yang sedang solat sunat. Disebabkan masjid yang penuh dan pelbagai ragam manusia, seringkali ada yang keluar masuk.
Sedarlah bahawa lalu di hadapan orang yang solat itu adalah suatu dosa yang amat besar, manakala membiarkan orang lalu tanpa bertindak juga adalah suatu kesalahan.
Nabi s.a.w menegah dengan katanya :-

‏لو يعلم المار بين يدي المصلي ماذا عليه لكان أن يقف أربعين خيرا له من أن يمر

بين يديه قال ‏ ‏أبو النضر ‏ ‏لا أدري أقال أربعين يوما أو شهرا أو سنة

Ertinya : Sekiranya seseorang yang lalu di hadapan orang yang solat itu tahu sebesar manakah dosanya, nescaya ia berhenti menunggu selama lebih 40 (tahun, hari dana bulan) adalah lebih baik dari ia lalu di hadapan orang yang solat itu. (perawi berkata : aku tidak pasti nabi menyebut 40 hari, bulan atau tahun) ( Riwayat Al-Bukhari)


Ibn Hajar menukilkan kata-kata Imam An-Nawawi yang berkata :- "hadis ini menunjukkan haramnya lalu dihadapan orang yang sedang solat dan makna hadis ini membawakan larangan keras dengan balasan yang dahsyat, justeru ia tergolong dalam kategori dosa-dosa besar" ( Rujuk Fathul Bari, Ibn Hajar )


Ibu bapa kerap membawa anak mereka di masjid di waktu begini. Wajiblah ke atas mereka untuk menjaga anak mereka agar tidak bertindak berlari di hadapan orang yang sedang solat ini.
2) Membiarkan orang lalu dihadapannya (ketika solat) tanpa di tahan.
Jika lalu di hadapan orang yang sedang solat adalah kesilapan, maka ia juga satu kesalahan bagi bagi orang yang sedang solat itu sekiranya ia tidak bertindak menghalang.
Nabi s.a.w menyebut :-


‏إذا صلى أحدكم إلى شيء يستره من الناس فأراد أحد أن يجتاز بين يديه فليدفع في نحره فإن أبى فليقاتله فإنما هو الشيطان


Ertinya : Apabila seorang kamu menunaikan solat dengan telah ada petanda atau penghadang di hadapan kamu dari orang ramai (sebagai isyarat tempat ia solat- ia dinamakan 'sutrah'), tiba-tiba ada orang yang ingin melintas di hadapanmu, hendaklah kamu menahannya dari lalu, sekiranya dia enggan hendaklah kamu lawaninya dengan kuat kerana dia adalah Syaitan.' (Riwayat Al-Bukhari, Muslim, lafaz di atas riwayat Abu Daud )


Kita perlu menyedari bahawa solat adalah satu munajat berdua-dua dan berhadapan dengan Allah s.w.t, mana mungkin dibenarkan ada orang yang lalu melintas tatkala kita sedang berdua-duaan dengan Allah secara 'face to face'.


Apa pandangan anda jika kita sedang ingin menerima 'scroll' ijazah dari seorang canselor yang juga merupakan seorang sultan, tiba-tiba ada orang mencelah di antara kita dengan sultan tersebut?, Sudah tentu yang lalu tadi akan menerima darjah dan sijil 'pelempang' (penampar) dari sultan tersebut agaknya. Kerana ia adalah penghinaan kepada sultan dan penerima ijazah tadi sekaligus.


Nabi bersabda :-


المصلي يناجي ربه


Ertinya : "Sesungguhnya seseorang yang sedang bersolat adalah sedang bermunajat dengan tuhannya" ( Riwayat Al-Bukhari, no 413 ; Muslim , no 551 )

Hanya orang yang tidak khusyu' sahaja yang akan membiarkan orang lalu dihadapannya ketika solat. Kerana ia tidak dapat merasakan solatnya adalah suatu majlis yang hebat dan 'grand', tiada perasaan langsung bahawa ia sedang berhadap dengan Allah. Hasilnya, tiada sebarang larangan orang ingin lalu dihadapannya atau tidak. Tiada sebarang rasa terhina atau menghina Allah s.w.t


3) Meludah di masjid
Maklumlah, hadir ke masjid selepas berbuka dengan perut penuh, di musim selsema dan berkahak ini, ramai kelihatan meludah di sana sini di masjid. Makin ramai makin banyak ragamnya.


Ketahuilah Nabi s.a.w menegah kita meludah sesuka hati di masjid, sebagaimana kata baginda :-


‏قال رسول الله ‏ ‏صلى الله عليه وسلم ‏ ‏البزاق في المسجد خطيئة وكفارتها دفنها
Ertinya : Meludah di masjid adalah satu dosa (kesalahan), dan sebagai balasannya, hendaklah ia melupuskannya ludahnya tadi dengan menimbusnya" ( Riwayat Al-Bukhari, Abu Daud )


4) Membiarkan anak bermain mercun berdekatan masjid, deringan telefon bimbit berbunyi, menoleh kiri dan kanan sewaktu menunaikan solat.


Ini adalah satu lagi dosa yang berlaku secara kerap di masjid tatkala Ramadhan ini. Sekali lagi ia adalah disebabkan ramainya menunaikan solat terawih di masjid dan agak ramai juga yang membawa hand phone masing-masing yang tidak di 'silent' kan deringannya.


Menurut kefahaman saya, hukum mematikan ‘handphone' sewaktu solat jemaah dan solat secara individu adalah wajib (dimestikan).


Ini kerana :-
a- Tegahan dari terpesong minda & hati : Nabi tidak membenarkan umatnya terpesong minda, hati dan wajah semasa menunaikan solat. Tegahan Nabi ini boleh dilihat dari hadith berikut:-


إن الرجل لينصرف وما كتب له إلا عشر صلاته تسعها ثمنها سبعها سدسها خمسها ربعها ثلثها نصفها


Ertinya : " Seseorang yang beransur dari solatnya dituliskan baginya pahala dari persepuluh pahala solatnya, 1/9,1/8, 1/7, 1/6, 1/5, 1/4, 1/3 atau ½ " ( Riwayat Abu Daud dan An-Nasaie , Shohih menurut Ibn Hibban )


فإن هو قام وصلى فحمد الله تعالى وأثتى عليه ومجده بالذي هو أهل وفرغ قلبه لله تعالى إلا انصرف من خطيئته كيوم ولدته أمه


Ertinya : "Sesungguhnya seseorang yang berdiri dan solat serta memuja muji Allah SWT dengan pujian yang selayak bagiNya, serta mengosongkan hatinya bagi Allah SWT kecuali tatkala ia keluar dari dosa-dosanya seperti anak yang baru dilahirkan"( Riwayat Muslim)


Larangan menoleh ke kiri dan kanan sewaktu solat pula ditegah sebagaimana kata Nabi :-


فإذا صَلَّيْتُم فَلا تَلتَفِتُوا , فإنّ اللهَ يَنْصِبُ وَجْهُه لِوَجْهِ عَبْدِهِ فِي صَلاتِهِ مَا لمْ يَلتَفِتْ


Ertinya : "Apabila kamu solat, janganlahkamu menoleh (ke sana sini yakni tidak fokuskan pandangan), kerana Allah SWT mengarahkan wajahNya ke wajah hambanya yang sedang bersolat selagi mana hambanya tidak menoleh ke lain" ( Al-Bukhari dan Abu Daud ; fath AL-Bari , 2/304 )


Justeru, difahami dari zahir dan objektif di sebalik tegahan-tegahan ini, kita akan mendapati mesej baginda nabi s.a.w amat jelas untuk seseorang menumpukan hati dan mindanya kepada Allah SWT semasa solat. Dengan kumpulan dalil-dalil ini saya kira telah cukup untuk menunjukkan kepentingan dan kewajiban menutup hand phone semasa solat.


b- Tegahan dari menganggu ahli jemaah yang lain

Sebagaimana kita fahami, bahawa bunyi handphone ini mampu mengganggu seluruh ahli jemaah yang sedang menunaikan solat. Terutamanya jika ia bermuzik dengan lagu dangdut, pop, rock yang pelbagai maka sudah tentu dosa pelakunya lebih besar.


Keadaan ini dapat difahami dari tegahan Nabi SAW terhadap umat Islam yang datang ke masjid dengan setelah memakan makanan berbau dan busuk. Nabi SAW besabda :-


‏من أكل ثوما أو بصلا فليعتزلنا أو قال فليعتزل مسجدنا وليقعد في بيته


Ertinya : Barangsiapa yang makan bawang putih atau merah (yang tidak dimasak dan kuat baunya) maka jauhilah kami atau disebut : jauhilah masjid-masjid kami dan duduklah ia di rumahnya sahaja( Riwyaat al-Bukhari , no 808 )


Kesimpulannya, wajib menutup hand phone semasa solat sendirian dan berjemaah. Sekiranya terlupa dan handphone berbunyi, maka wajiblah bergerak sedikit untuk menutupnya.


Pergerakan ini tidak membatalkan solat kerana ia adalah pergerakan wajib, sebagaimana Nabi SAW mengizinkan untuk membunuh binatang bisa kecil semasa solat. Diriwayatkan


أن النبي ‏ ‏صلى الله عليه وسلم ‏ ‏أمر بقتل الأسودين في الصلاة العقرب والحية


Ertinya : Sesungguhnya Nabi SAW mengarahkan agar membunuh dua binatang bias walaupun ketika solat iaitu kala dan ular (jika ia menghampiri ketika solat) ( Riwayat Ibn Majah, no 1235 )


Hasilnya, jelas kita dapat memahami bahawa wajib juga bagi seseorang untuk bertindak ‘membunuh' bunyi handphone nya yang mengganggu jika berbunyi kerana ia amat berbahaya dan merosakkan ketenangan orang sedang solat, sebagaimana bahayanya kala dan ular.


5) Lelaki hadir ke masjid dengan berbau busuk, perempuan pula berwangian.

Telah banyak kali saya sebut di dalam web ini bahawa wanita ditegah memakai wangian sewaktu bercampur dengan lelaki bukan mahram di tempat umum termasuk masjid. Manakala lelaki pula disunatkan berwangian ke masjid.


Sebagaimana ingatan Nabi :-


‏من أكل ثوما أو بصلا فليعتزلنا أو قال فليعتزل مسجدنا وليقعد في بيته


Ertinya : Barangsiapa yang makan bawang putih atau merah (yang tidak dimasak dan kuat baunya) maka jauhilah kami atau disebut : jauhilah masjid-masjid kami dan duduklah ia di rumahnya sahaja( Riwyaat al-Bukhari , no 808 )

6) Tidur semula selepas sahur

Telah disebutkan bahawa waktu sahur adalah waktu yang dipenuhi keberkatan dan kemaqbulan doa. Justeru, tabiat tidur semula setelah makan sahur sementara menunggu waktu subuh adalah satu kesilapan. Inilah tabiat yang menyebabkan masjid dan surau tidak penuh di waktu subuh.


Tidur selepas makan sahur menyebabkan tubuh menjadi semakin layu dan mengantuk yang amat sangat. Keadaan ini pastinya menjadi punca solat subuh di rumah berseorangan atau lebih teruk, terlewat subuh.


Amat rugilah mereka yang tidak menjaga waktu sebegini serta tidak mengisinya dengan doa dan istighfar.
Allah berfirman :-


الصَّابِرِينَ وَالصَّادِقِينَ وَالْقَانِتِينَ وَالْمُنفِقِينَ وَالْمُسْتَغْفِرِينَ بِالأَسْحَارِ


Ertinya : "Orang-orang yang sabar, yang benar, yang tetap taat, yang menafkahkan hartanya (di jalan Allah), dan yang memohon ampun di waktu sahur" ( Al-Imran : 17 )


7) Menunaikan semua solat sunat di masjid dan tiada di rumah.
Tidak dinafikan, di bulan mulia ini ramai yang berusngguh ingin mendapatkan pahala sunat, solat sunat kerap dilakukan sejurus solat fardhu di masjid dan surau.


Cuma orang ramai perlu tahu bahawa, solat sunat lebih afdhal dilakukan di rumah berbanding di masjid dan surau, ia lebih mampu menjaga diri dari perasaan riya, ujub dan takbur. Kecualilah solat sunat terawih dan bagi individu yang jauh rumahnya dari masjid, hingga terpaksa menunaikan solat-solat sunat selepas dan sebelum solat fardhu di masjid.


Bagaimanapun, adalah satu kesilapan sekiranya tidak dilaksanakan sebarang solat sunat ketika di rumah, seperti solat tahajjud, witir dan lain-lain.


Nabi s.a.w bersabda :-


اجعلوا من صلاتكم في بيوتكم ولا تتخذوها قبورا


Ertinya : jadikanlah sebahagian dari solat kamu di rumahmu dan jangan biarkan rumahmu menjadi seperti kubur ( akibat tiada solat sunat)" (Riwayat Muslim)


Majority ulama berpendapat solat sunat lebih baik dilaksanakan di rumah disebabkan ia lebih tersorok daripada pandangan ramai ( Syarah Sohih Muslim, Imam An-nawawi )

8) Wanita berhias dan membuka aurat di luar rumah
Saya kira, isu ini telah banyak saya sentuh di web ini, malangnya ia seakan-akan satu fenomena yang amat sukar untuk diubah walaupuan di ketika datangnya bulan dibukakan pintu syurga dan ditutup pintu neraka ini.


Sedarilah, kegagalan kita untuk berubah kepada yang lebih baik di bulan ini bakal menyaksikan kejahatan diri akan semakin mudah meningkat di bulan-bulan lain.


(GAMBAR DUA WANITA YANG DISIARKAN SEBELUM INI SEBENARNYA DISIARKAN OLEH SUAMI MEREKA DAN DISIAR SECARA PUBLIC DI WEB FOTOGRAFI, IA MEMANG DITONTON OLEH RAMAI)


9) Merendah dan 'kondem' wanita yang cuba berubah dengan bertudung, tutup aurat dan tidak berhias di bulan ramadhan.


Saya juga mendapat info bahawa sebahagian golongan yang merendahkan percubaan perubahan diri dan perkara baik yang dilakukan oleh rakan setugas dan kenalannya di bulan Ramadhan ini. Ada yang mengeji, menuduh hipokrit, mengutuk kononnya 'bungkus sebentar' dan macam-macam lagi kutukan.


Buat pihak yang mengutuk, sedarilah, anda sebenarnya sedang menjauhkan orang dari Islam dan hidayah Allah. Disebutkan dalam sebuah hadis :-


‏لا تحقرن من المعروف شيئا ولو أن ‏ ‏تلقى أخاك ووجهك منبسط


Ertinya : "Janganlah kamu mencela apa jua perkara kebaikan (yang dilakukan) , walaupun hanya sekadar seseorang bertemu saudaranay dengan wajah yang senyum dan riang.." ( Riwayat Ahmad , dari hadis Jabir , no 19717 )


Justeru, apa jua kebaikan yang mampu diusahakan oleh seseorang terutamanya di bulan baik ini, kita ditegah untuk memperlecehkannya.


10) Banyak berdoa tetapi tidak memahami apakah maksud doanya
Ini satu lagi penyakit yang menular meluas dalam masyarakat kita, memang amat baik untuk menghafal doa yang sohih dari Al-Quran dan dari baginda Nabi s.a.w, tetapi ia akan tergugat apabila anda tidak memahami apakah doa yang diulang-ulangnya itu.


Saya kerap kali terjumpa tuan imam yang membaca dari buku sahaja doa yang panjang lebar, dengan tergagap-gagap. Selepas tamat saya cuba bertanya adakah beliau faham kandungan doa itu, ia berkata hanya faham 10 % sahaja. Mujurlah ada yang faham, bagaimana jika 0 % faham.
Jika tuan imam hanya 10 % faham, bagaiamana pula dengan makmum dari orang biasa ini?.


Bolehkah doa tanpa faham ini menjadi maqbul dengan serta merta ?, bolehkah sesuatu doa yang tidak difahami maskudnya boleh lahir dari hati, jiwa dan penuh perasaan dari orang yang berdoa?. Perbincangannya mungkin seidkit panjang, Cuma cukuplah saya ingin mengingatkan ia adalah salah satu bentuk kesilapan di bulan Ramadhan yang dipenuhi doa ini.


Segeralah mencari terjemahan doa yang anda baca agar kesungguhan meminta apa yang diucapkan sampai kepada Allah s.w.t.


Nabi s.a.w mengingatkan :-


ادْعُوا اللَّهَ وَأَنْتُمْ مُوقِنُونَ بِالإِجَابَةِ وَاعْلَمُوا أَنَّ اللَّهَ لا يَسْتَجِيبُ
دُعَاءً مِنْ قَلْبٍ غَافِلٍ لاهٍ

Ertinya : "Berdoalah kepada Allah dalam keadaan kamu yakin ianya diterima Allah, dan ketahuilah Allah tidak menerima doa dari orang yang hatinya lalai dan tidak bersungguh" ( Riwayat At-Tirmidzi, no 3479 : AlMunziri dan Albani : Sanad & Hadis Hasan )

Akhirnya, semoga kesilapan ini dapat dielakkan di ketika kita menghidupkan Ramadhan dan berterusan dapat dielakkan selepas Ramadhan. Saya izinkan disebarluaskan artikel ini di masjid, surau, fotostatlah sebanyak mungkin demi manfaat rakan muslim kita. Semoga kita dapat sama-sama ke syurga Allah s.w.t ..ameeen.

Sekian
Zaharuddin Abd Rahman
http://www.zaharuddin.net/

HAYYA LIL 'ILM...


Salam Ramadhan sahabat2 dan pembaca...
Moh kita jalan-jalan tambah ilmu...
Jom! boleh join ummi...


Sijil Pengajian Syariah

Kursus ini ditawarkan oleh Pusat Pendidikan Berterusan (UMCCed) dan kuliah disampaikan oleh para tenaga akademik Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya. Akademi menyediakan kepakaran dalam bidang Syariah.

Objektif


Kursus jangka pendek pengajian awam diperkenalkan bagi menyebarkan ilmu Syariah kepada masyarakat awam.


Program yang ditawarkan ini akan menjelaskan sistem-sistem yang terdapat dalam disiplin pengajian Syariah. Peserta-peserta akan didedahkan dengan pelbagai konsep, pengertian, penyelesaian, kaedah-kaedah, dan berbagai aspek yang terdapat di dalamnya meliputi sesuatu isu dari sudut perkembangan sejarah dan yang relevan masa kini.


Kursus ini sangat berguna, kerana peserta-peserta dapat sama-sama mengikuti dan memahami perkembangan semasa dan dapat meningkatkan tahap pemikiran terutama dalam soal yang berhubung dengan Syariah.


Struktur Program


Kursus ini ditawarkan dalam 3 Modul (Modul 1, Modul 2 dan Modul 3) yang berasingan. Pelajar diminta memilih mana-mana modul yang ingin diikuti terlebih dahulu tetapi sebaik-baiknya dimulakan dengan modul 1. Pelajar yang tamat mengikuti mana-mana modul dan ingin mengambil modul yang berikutnya perlu memohon sekali lagi. Setiap modul akan diaugerahkan sijil kursus.

Modul 1

Pengantar Kepada Syariat Islam (IYS 101)
Membincangkan tentang konsep Syariah dan istilah yang berkaitan, sumber-sumber Syariah, perbahasan ilmu Fiqh Islam, sejarah perkembangan mazhab dan juga perkembangan Syariah sehingga kini.

Pengajian Al-Quran (IYS 102)
Membincangkan tentang nuzul Al-Quran, sejarah pengumpulan Al-Quran, kehujahannya, pendalilan Al-Quran terhadap hukum serta perkara-perkara yang berkaitan dengannya.

Pengajian Al-Sunnah (IYS 103)
Membincangkan tentang konsep Al-Sunnah sebagai sumber kedua perundangan Islam, penulisan al-Sunnah, tokoh dan karyanya serta metode-metode kawalan originaliti Al-Sunnah.

Amalan Ijtihad (IYS 104)
Menerangkan peranan ijtihad dan Syariat Islam, sejarah pengamalan dan pengabaiannya di sepanjang zaman dan juga perbincangan tentang ijtihad kontemporari.

Modul 2

Sistem Ibadat Islam (IYS 201)
Membincangkan tentang konsep ibadat secara umum dan bahagian ibadat secara khusus.

Sistem Kekeluargaan Islam (IYS 202)
Menghuraikan konsep kekeluargaan yang merangkumi persoalan hukum, rukun, syarat-syarat dalam perkahwinan dan perceraian. Ia juga akan membincangkan hak dan kewajipan suami dan isteri dan perkara-perkara yang berkaitan dengannya.

Sistem Jenayah dalam Islam (IYS 203)
Membincangkan tentang sistem Jenayah dalam Islam, asas-asas pembentukannya dan beberapa pengecualian dari tanggungjawab jenayah.

Sistem Muamalat Islam (IYS 204)
Menghuraikan perkara asas dalam sistem Muamalat Islam terutama yang berkaitan dengan Undang-Undang Kontrak Islam. Juga akan membincangkan tentang beberapa kontrak penama dalam Fiqh Islam seperti jualbeli, mudarabah, wadi`ah, musyarakah dan sebagainya.


Modul 3-Syariah

Syariat Islam dan Masyarakat Malaysia (IYS 301)
Membincangkan tentang persoalan masyarakat Islam dan strukturnya secara umum dan aplikasi hukum Islam dan realiti masyarakat Malaysia dan persoalan cabaran hukum Islam terhadap perubahan masyarakat hari ini.

Sistem Politik Islam (IYS 302)
Menghuraikan pengertian politik dan siasah, perbincangan serta kuasa-kuasa di negara-negara yang merangkumi legislatif, eksekutif dan judikatif.

Sistem Pengadilan Islam (IYS 303)
Menghuraikan konsep pengadilan dan perkara-perkara yang berkaitan dengannya.

Pentadbiran Syariah Islam di Malaysia (IYS 304)
Membincangkan tentang undang-undang yang dipakai untuk mentadbir Syariah Islam, pengkanunan undang-undang Syariah dalam bidang Mal dan Jenayah dan beberapa institusi yang berkaitan yang mentadbir hal ehwal agama Islam di negara ini.


Jadual Program

Kursus dijalankan secara separuh masa selama 4 bulan bagi satu modul iaitu 32 jam kuliah keseluruhannya.

Masa dan hari kelas bergantung kepada tempat seperti berikut:

Tempat Kuliah Masa Kuliah

Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya, KL Sabtu (3.00 ptg – 5.00 ptg)
Majlis Agama Islam Negeri Sembilan Sabtu dan Ahad (9.00 pg - 1.30 ptg)
Kolej Islam Darul Ridzuan, Ipoh Perak Sabtu (3.00 ptg – 5.00 ptg)
Dewan Perniagaan Melayu Putrajaya Sabtu (3.00 ptg – 5.00 ptg)
Kaedah Penilaian
Penilaian
100%
Peperiksaan
100
Peperiksaan akan diadakan bagi setiap modul.

Syarat Kemasukan

Individu yang berminat hendaklah memiliki kelayakan sekurang-kurangnya Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) atau yang setaraf dengannya. Kelayakan Bahasa Arab atau Pengetahuan Agama Islam tidak diperlukan.



Jadual Pengambilan
Mei dan Oktober

Yuran Pengajian

Pusat Pengajian
Yuran (RM)* bagi setiap modul
Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya, Kuala Lumpur 250.00


Majlis Agama Islam Negeri Sembilan
Kolej Islam Darul Ridzuan, Ipoh Perak
Dewan Perniagaan Melayu Putrajaya 360.00

*Termasuk Nota Kursus

Kelayakan ke Program Diploma Eksekutif
Peserta yang lulus SPM dan Modul 1,2,3 Syariah layak mengikuti pengajian peringkat Diploma Eksekutif (Diploma Eksekutif Pengajian Syariah/Diploma Eksekutif Pengajian Usuluddin) yang ditawarkan oleh pusat ini.

Maklumat ini ummi ekstrak dari website UM.

Al-Hasan rahimahullah (wafat th. 110 H) berkata,
”Yang dimaksud kebaikan dunia adalah ilmu dan ibadah, dan kebaikan akhirat adalah Syurga ”
Sedangkan Ibnu Wahb (wafat th.197 H) rahimahullah berkata,
”Aku mendengar Sufyan Ats-Tsauri rahimahullah berkata ”Kebaikan di dunia adalah rizki yang baik dan ilmu, sedangkan kebaikan di akhirat adalah syurga”
Salam fid dunya wal akhirah!



September 04, 2008

Peringatan Buat Diriku yang Lupa...





Lima Jenis Racun dan Lima Penawarnya ......
1. Dunia itu racun, zuhud itu ubatnya.

2. Harta itu racun, zakat itu ubatnya.

3. Perkataan yang sia-sia itu racun, zikir itu ubatnya.

4. Seluruh umur itu racun, taat itu ubatnya.
5. Seluruh tahun itu racun, Ramadhan itu ubatnya.






Ada 4 di pandang sebagai ibu :

1. Ibu dari segala UBAT adalah SEDIKIT MAKAN.

2. Ibu dari segala ADAB adalah SEDIKIT BERBICARA.

3. Ibu dari segala IBADAT adalah TAKUT BUAT DOSA.

4. Ibu dari segala CITA CITA adalah SABAR.