Cinta ILAHI, Celik Hati, Tajam Aqli,

Terbina Peribadi...


November 08, 2008

Korban Dunia, Anugerah Akhirat


"Ummi sayang pada anak-anak ummi, sebab itu ummi hendak beri pendidikan yang terbaik pada anak-anak ummi, sebab ilmu itu akan jaga kita", kata-kata ini selalu ummi perdengarkan pada Ihsan dan Hannan. Apabila sudah berazam untuk beri yang terbaik, maka mestilah cari yang baik-baik. Salah satu tanggungjawab ibu bapa adalah mengajarkan ilmu Quran kepada anak-anaknya. Justeru, Ummi tidak pernah berasa jemu mengajar anak-anak asas Al-Quran dan mencari guru dan tempat pengajian yang baik untuk anak-anak. Keyakinan ummi teguh bahawa manusia yang menyimpan Al-Quran di dalam dadanya sentiasa dalam peliharaan Allah.

Dari Abul Abbas Abdullah bin Abbas ra berkata : Suatu hari aku berada dibelakang Nabi SAW lalu beliau bersabda, “Nak, aku ajarkan kepadamu beberapa patah kata,
Jagalah Allah… niscaya Dia akan menjagamu…
Jagalah Allah… niscaya Dia akan senantiasa bersamamu…
Bila Engkau meminta sesuatu… mintalah kepada Allah…
Dan bila Engkau meminta pertolongan… mintalah pertolongan kepada Allah…
Ketahuilah…
Jika semua umat manusia bersatu padu untuk memberikan suatu kebaikan kepadamu…
niscaya mereka tidak dapat melakukannya kecuali dengan sesuatu yang telah ditulis oleh Allah bagimu…
Dan jika semua umat manusia bersatu padu untuk mencelakakanmu…
niscaya mereka tidak dapat melakukanmu kecuali dengan sesuatu yang telah ditulis oleh Allah bagimu…
Pena telah diangkat… dan catatan itu telah mengering..
(HR. Tirmidzi)

Justeru, salah satu cara membuktikan kita menjaga Allah adalah dengan memelihara kalamNya. Bagaimana kita hendak pelihara sesuatu jika kita tidak kenal pun perkara tersebut? Maka, jika hendak menjaga kalamNya ini, prasyaratnya jelas. Perlu kita tahu dan kenal kalamNya. Mahir membacanya, mahir hukum tajwidnya, tahu tuntutannya melalui tafsirnya dan cinta padanya.

Korban untuk yang Terbaik
Orang-orang yang berdamping dengan Quran tahu kelebihan korban. Jika Ummi sanggup berkorban wang ringgit dan harta (kenapa korban?) untuk pendidikan anak-anak, apatah lagi nilai korban yang dilakukan kerana Nya. Ummi sebut korban kerana kasih sayang pada anak membuatkan kita mampu memberi lebih dari yang sepatutnya kita beri walaupun jelas tanggungjawab material adalah terletak atas bahu seorang ayah. Ummi percaya ganjaran dariNya di sana nanti bakal mengubat keperitan yang dilalui di dunia ini demi anak-anak.

Kata Nabi memberi hadiah adalah baik, dan hadiah yang terbaik adalah apabila kita mampu memberi perkara atau barang yang paling kita sayang. Mungkin perkara yang kita sayang itu adalah harta seperti wang, barang kemas, pakaian dan sebagainya. Boleh jadi juga pemberian itu melibatkan orang yang kita sayang seperti ibu bapa, suami, isteri, anak, saudara dan kawan. Maka tidak hairanlah jika kita mendengar kata-kata pasangan kekasih seperti, "Saya rela berpisah jika itu dapat memberi kebahagiaan kepadanya." Hanya orang yang bahagia mampu memberi kebahagiaan pada orang lain.

Macam-macam pengorbanan dalam hidup kita sehari-hari. Kita manusia biasa yang tidak mampu melakukan semua perkara, jadi memilih yang terbaik kita boleh lakukan dalam hidup yang singkat ini dan mengorbankan perkara-perkara yang tidak mampu kita laksanakan adalah pilihan yang bijak. Memberi tumpuan kepada perkara yang lebih bermanfaat dan melepaskan perkara yang kurang penting.

Semangat Zulhijjah
Sempena kedatangan bulan korban ini, elok jika kita dapat menyambung semangat korban yang dibuktikan oleh Nabi Ibrahim dan anaknya Ismail. Carilah ruang dan peluang untuk melaksanakan korban sebagai individu Muslim Mukmin yang percaya pada anugerah Nya di sana nanti. Harta yang sedikit mungkin akan terasa banyak hasil barakah yang dikurnia Allah. Jangan kerana nilai pada kuantitatif yang nampak sedikit membuatkan kita melepaskan peluang pahala korban ini kerana nilai kualitatif itu akhirnya yang akan dikira oleh Tuhan. Rancang, ikhlaskan niat dan motif, dan laksana.

Ummi ingin menjemput sahabat-sahabat untuk melaksanakan amalan korban ini melalui Projek Sadaqah Korban untuk Palestin yang dianjurkan oleh Aman Palestin Bhd.
Moh Korban Dunia, Demi Anugerah Akhirat!

Mesej dari Aman Palestin Bhd.
Untuk melaksanakan ibadah korban di Palestin dan Perkhemahan Pelarian Palestin di Lubnan, Aman Palestin pada tahun ini memperkenalkan Projek “Sadaqah Korban Untuk Palestin” supaya lebih ramai rakyat Malaysia boleh menyertai ibadah ini di Palestin.Oleh kerana nilai kambing dan lembu di Palestin dan di Perkhemahan Pelarian Palestin Lubnan adalah terlalu mahal jika dibandingkan dengan nilai di negara kita, tidak ramai rakyat Malaysia yang mampu menyertai ibadah korban ini. Justeru, dengan adanya sadaqah korban ini, sadaqah yang dikumpulkan untuk tujuan korban dikumpulkan dan akan digunakan untuk membeli haiwan korban bagi rakyat Palestin. Kita berharap ramai rakyat Malaysia yang ingin melakukan amalan sadaqah yang paling afdhal ini dapat turut menyertainya.

No comments: