Cinta ILAHI, Celik Hati, Tajam Aqli,

Terbina Peribadi...


July 19, 2009

Buah Tangan Terbaru Tuan Guru.

Segala puji bagi Allah yang telah mengizinkan aku untuk menceduk 'sedikit' khazanah perubatan Islam dari tokoh yang tidak perlu diperkenalkan lagi, yang kukasihi Tuan Guru Dato' Dr. Haron Din. Moga Allah memberi kesihatan dan kelapangan untuk beliau terus berkongsi berkaitan bidang ini.

Baru-baru ini telah diadakan Majlis Pelancaran Buku Terbaru Tuan Guru : Menjawab Persoalan Makhluk Halus: Kaitannya dengan Penyakit & Pengubatan. Isu makhluk halus ini tidak asing dalam kalangan masyarakat terutamanya budaya dan adat Melayu itu sendiri. Bermacam-macam andaian dan gambaran dibuat dan akhirnya berubah menjadi kepercayaan generasi turun temurun. Sayangnya, tidak semua andaian dan gambaran tersebut benar, malahan ada yang tersasar jauh daripada landasan Quran dan hadith.

Marilah kita bersama-sama cuba memahami isu ini secara benar melalui landasan sahih yang dituntut, iaitu Quran dan Hadith. Justeru, buku terbaru Tuan Guru ini sangat layak dijadikan panduan kita memahami isu ghaib ini. Inilah dia...






Berikut dipetik Mukadimah Tuan Guru dari buku tersebut;

MUKADIMAH PENGARANG

Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani. Segala puji hanya bagi Allah, Tuhan semesta alam. Kepada-Nya kami meminta pertolongan dalam urusan-urusan dunia dan akhirat. Selawat dan salam ke atas Rasul kami yang sangat amanah, penghulu kami Nabi Muhammad SAW, keluarga dan para sahabat baginda sekalian.

Saya sering menerima soalan sama ada melalui surat atau yang bertanya terus di majlis-majlis kuliah. Di antara soalan yang berulang kali diajukan kepada saya ialah yang berkaitan dengan makhluk halus seperti jin, qarin, sihir, rasukan, bunian, saka, orang mati hidup semula, penggunaan tangkal, penyakit yang disebabkan oleh jin dan sebagainya.

Mereka meminta pendapat saya walaupun ramai alim ulama’ lain di Malaysia yang boleh memberikan jawapan yang sama dengan saya.

Memandangkan persoalan ini berhubung kait dengan soal aqidah, maka menjadi suatu kefarduan kepada saya untuk menjelaskannya. Persoalan masyarakat ini perlu dirungkaikan supaya mereka tidak terus terjebak dengan amalan syirik.

Masyarakat perlu didedahkan dengan maklumat daripada sumber yang sahih terutama sekali jika ia melibatkan soal aqidah.

Saya telah berusaha menjawab setiap persoalan dengan berlandaskan hujah-hujah yang sahih daripada al-Quran dan al-Hadith.

Kesemua jawapan ini sebenarnya merupakan respon saya kepada soalan yang diajukan melalui akhbar Harakah. Saya telah melahirkan hasrat saya kepada Ahli Jawatankuasa Darussyifa’ supaya koleksi soal jawab yang pernah tersiar dalam akhbar Harakah ini dibukukan.

Saya amat berharap usaha pembukuan soal jawab ini dapat memberikan manfaat yang besar kepada masyarakat bahkan saya berdoa moga buah tangan saya ini dapat mengurangkan seterusnya menghapuskan fahaman dan amalan khurafat yang masih berakar umbi di dalam masyarakat kita.

Hanya Allah SWT sahaja yang Maha Sempurna lagi Maha Benar, manakala yang salah dan silap adalah daripada insan yang bersifat lemah.

Semoga Allah SWT mengampuni kesalahan dan kekhilafan yang tidak disengajakan. Kepada Allah SWT kita memohon rahmat dan berkat. Semoga Allah SWT sentiasa mengabulkan usaha kita dan menjadikannya sebagai amalan soleh.

Ikhlas daripada saya,

Dato’ Dr. Haron Din
Pengasas dan Penasihat Darussyifa’
30 Mac 2009M / 3 Rabiul Akhir 1430H

ISI KANDUNGAN BUKU INI
======================

BAB-1: PERSOALAN UMUM BERKAITAN MAKHLUK HALUS
BAB-2: PERSOALAN BERKAITAN JIN, BUNIAN, QARIN DAN SAKA
BAB-3: PERSOALAN BERKAITAN TANGKAL
BAB-4: PERSOALAN BERKAITAN SIHIR
BAB-5: PERSOALAN BERKAITAN ILMU GHAIB
BAB-6: PERSOALAN UMUM
BAB-7: DOA-DOA DAN AYAT-AYAT AL-QURAN UNTUK MENGATASI GANGGUAN MAKHLUK HALUS

No comments: