Cinta ILAHI, Celik Hati, Tajam Aqli,

Terbina Peribadi...


September 11, 2008

Bengkel Dakwah dalam Masyarakat Majmuk

Saudara Kamarul Zaman b. Noor Mohamed menyampaikan
Kertas Kerja 1 : Kewajipan Berdakwah


Pada hujung minggu yang lalu, 7 September 2008 di Masjid Negeri Selangor, ummi berasa bertuah menjadi salah seorang peserta dalam Bengkel Dakwah dalam Masyarakat Majmuk yang dianjurkan oleh Biro Dakwah, JIM Petaling.

Bengkel ini sebenarnya adalah lanjutan dari Seminar Cabaran Agama-Agama Dunia yang telah diadakan pada bulan Jun lalu di Shah Alam. Seminar tersebut telah mendapat sambutan yang sangat menggalakkan, justeru sesi lanjutan dicadang dan direalisasikan dengan Bengkel ini.

Slot pertama diisi oleh Saudara Kamarul Zaman b. Noor Mohamed dari Hidayah Centre, JIM. Beliau berpengalaman sebagai aktivis dakwah di negara ini. Menarik dan hebatnya dengan Saudara Kamarul Zaman ini adalah aktiviti dakwahnya dikongsi bersama zaujah tercinta...Keluarga Sakinah!

Saudara Kamarul Zaman ternyata menjadi 'modul bergerak' bagi peserta kerana teori-teori dakwah yang dikongsi sudah menjadi 'irama dan lagu' dalam dirinya berdasarkan pengalaman yang telah dipraktikkan dalam kegiatan dakwahnya. Real! Antara pesanan dari Saudara Kamarul Zaman yang terpahat dan menarik minat ummi adalah:

"Saya tidak lagi berminat dengan mana2 MLM setelah saya kenal MLM dakwah ini. Allah janjikan gandaan pahala 700% untuk kerja amar makruf nahi mungkar ini. Mana ada syarikat MLM yang sanggup beri sebanyak ini."

"Kita terlalu berprasangka terhadap non-muslim ini, cina, india dan lain2. Bila jumpa orang cina maka tak boleh cerita tentang Islam. Sedangkan mereka hendak mendengar yang benar dari kita."

Seronok mendengar pengalaman-pengalaman Saudara Kamarul Zaman ini. Bertambah suntikan semangat ummi untuk berada dalam 'laluan berliku' ini. Jika beliau boleh mengapa tidak kita?

Saudara Johanes Lukas (Yahya Luqman) dalam slot ke 2:
Mengapa Saya Pilih Islam - saudara baru yang unggul
kerana Islam!

Slot ke 2 adalah perkongsian pengalaman bersama Saudara Johanes Lukas (dalam Bahasa Arab bermaksud Yahya Luqman). Beliau adalah bekas penganut Roman Katholik. Mendapat hidayah Islam setelah mengkaji Al-Quran. Segala persoalan yang tersimpul dalam mindanya berjaya terungkai setelah memahami Al-Quran.

Beliau telah berkongsi kisah suka dukanya serta detik-detik mencabar dalam usaha mewar-warkan keislamannya kepada keluarga. Satu perkara yang membuat ummi kagum:

"Saya merahsiakan awal keislaman saya. Tetapi, keluarga perasan perubahan saya terutamanya perangai saya yang jadi lebih mesra, lunak dan hormat terhadap ibu bapa dan kakak. Setelah memeluk Islamlah, saya mula salam dan cium ibu, salam dan cium tangan kakak. Ibu terperanjat, kerana saya adalah seorang yang panas baran dahulu dan tidak mesra dengan keluarga"

MasyaAllah, cantik sungguh Islam telah lakukan terhadap akhlak Saudara Johanes ini. Beliau bukan semakin jauh dari keluarga setelah Islam, malah semakin rapat dan mesra. Jadi, tentangan keluarga yang didepani telah beliau harungi dengan menunjukkan syiar keindahan akhlak islami. Terfikir ummi: "Aku?"

Saudara Aizuddin Nuruddin dalam slot ke 3: Teknik Dakwah
kepada non-muslim

Slot ke 3 agak formal dan berat. Isunya tertumpu pada sudut ilmu dakwah itu sendiri. Rujukan adalah daripada Usul Dakwah oleh Karim Zaydan. Perkara-perkara berkaitan dakwah seperti rukun, unsur, hala tuju, asas, kitaran dakwah dan sifat daie diterangkan. Saudara Aizuddin merupakan JK Dakwah JIM Pusat yang juga berpengalaman dalam kegiatan dakwah di negara ini.

Bengkel berehat tengahari itu untuk solat zuhur dan disambung semula dengan slot2 yang lebih menarik dan MENCABAR! Selepas solat peserta terlibat secara langsung dalam sesi 'role play' dakwah. Peserta yang membuat 'role play' antara daie dan mad'u akan dikomen oleh penceramah2 yang ada.

Ummi bersama Ustazah Hidayah telah mencuba ilmu yang tak seberapa di hadapan peserta lain. Hebat betul Ustazah ni jadi mad'u. Jenuh juga ummu nak menjawab persoalan2 powernya yang bersifat memerangkap! Hasilnya, kami dikomen jika disoal dengan isu2 sensitif dan kontroversi maka tukarkan ancaman tersebut menjadi peluang. Keluar dari isu tersebut dan kembali kepada matlamat asal dakwah itu.

Slot terakhir yang buat kecut perut para peserta akhirnya tiba juga. Peserta diberi kumpulan untuk menjalankan 'field practical'! Kumpulan ummi bergerak ke Jaya Jusco, Bukit Raja , Klang. Ummi, Yus, Kak Ram, Kak Fuziah dan Faizah berbincang dan memberi 'task' masing-masing. Ummi bergerak bersama Yus. Wow! First time ni perasaan jadi haru biru, kecut, panik, seronok, semua ada.

Ummi dan Yus mendekati seorang wanita muda yang sedang memilih-milih barang.

"Excuse me, miss", ummi memulakan.

"Maaf, boleh beri kami lima minit untuk jalankan sedikit survey?", dengan senyum ummi memohon dengan sopan.

Seterusnya perbualan berlanjutan antara kami dan wanita tersebut, seorang penganut Kristian dari Sarawak. Menariknya, bila disoal apa yang beliau tahu tentang Islam, tanpa ragu beliau menjawab bahawa Islam adalah agama yang suci. Berbunga-bunga di hati mendengar jawapannya. Taklah seperti yang ummi sangka.

Kami mendekati 10 orang dan hasilnya 2 orang menolak untuk temubual dan 8 orang memberi 'respons' yang sangat baik. Rupanya, orang-orang non-muslim di luar sana nak tahu tentang Islam, tapi kita tidak berbuat apa-apa. Masya Allah!

Dalam masa kurang dari 1 jam, kami dapat mendekati 10 orang. Hebat juga (perasan sendiri!).
Kami berkumpul semula di Bilik Seminar, Masjid Negeri dan sesi muhasabah dijalankan bersama penceramah2. Slot praktikal itu dilihat dari sudut sebab2nya mengapa terjadi ditolak atau diterima. Antaranya faktor kemahiran komunikasi dan isi temu bual tersebut. Satu perkara yang mungkin menjadi faktor penolak ialah imej dan penampilan termasuklah pakaian daie.

Apa-apa pun, ummi berasa bertuah dan bersyukur dapat mengikuti Bengkel ini sehingga akhir. Ini ilmu dan kemahiran baru bagi ummi.

Bagaimana anda? Moh kita...

Bengkel ke2 akan menyusul...


"There is an island of opportunity in
every diffuculty"

No comments: