Cinta ILAHI, Celik Hati, Tajam Aqli,

Terbina Peribadi...


January 07, 2010

Agenda 2010...Keluarga Bahagia


2010: Hidup Pilihanku


Firman Allah bermaksud:


"Terimalah semua yang telah Allah berikan kepadamu dan
jadilah kamu
termasuk orang-orang yang bersyukur." (Al-A'raf: 144)



Keluarga besar bahagia...insyaAllah, hingga ke syurga.

Hari ini 9 Januari 2010. Wah! 9 hari sudah berada di tahun baru, 9 hari sudah ditinggalkan 2009 yang penuh kenangan dan pengajaran. Siapa aku hari ini ya? Seorang wanita biasa? Seorang wanita luar biasa? Mana satu ni?

Yelah kan..."Manusia itu tidur sebenarnya; dan hanya akan TERJAGA apabila mati kelak."

Kata-kata Saidina Ali jika tak silap...kena buka kitab semula ni. Hmmmph...tidur rupanya manusia di dunia, leka dan lalai dengan keindahan yang sementara. Aku? Ish... nak berfalsafah di awal tahun ni...letih juga.

Minggu pertama persekolahan, Kaunselor sepanjang hari di Dewan. Mengendalikan Program Maju Diri dan Orientasi Tingkatan 4, 3 dan 5. Penat...dalam bahagia. Menghadap wajah anak-anak remaja yang naif, menghulur pesanan demi pesanan bersandarkan pengalaman. Akhirnya, aku sampai ke titik penyudahnya...

Walaupun aku yang dewasa ini, seorang guru, seorang Kaunselor yang kerap menitipkan pesanan, sekali sekala amaran juga, berlapikkan kasih sayang; sebenarnya aku juga sedang belajar. Belajar untuk memberi, belajar mengikhlaskan pemberian. Aku sedang belajar daripada pelajar-pelajar di depanku ini.

Seni Memberi & Seni Menerima

Kakak tolong adik ye...Baik hati kakak ni. Bijak MEMBERI.


Memberi harus berseni...Menerima juga ada seninya.

"Kita tidak mungkin dapat semua yang kita suka...Oleh itu berusahalah untuk suka semua yang kita dapat"

Memberi...sangat baik.Memberi dengan ikhlas...sangat cantik! Walaupun iklhlas adalah rahsia di sebalik rahsia Allah. Ikhlas itu tak nampak, tapi mampu ditelah. Bila pemberian telah dihulur. Dipuji tak melambung, dikeji tak membantutkan pemberian..Beri tetap beri. Itu antara tanda unsur ikhlas telah berputik, suburkan ia dengan mujahadah dan istiqamah.

Menerima...sangat baik. Menerima dengan sabar...sangat cantik! Di manakah batasan sabar? Sampai bila perlu bersabar? Berbaloikah bersabar? Hmmph...Ada batasankah sabar itu? Ada had masakah menahan sabar? Ada hasilkah bersabar?

Wah...berat nak menerima jika dikatakan sabar itu tiada batasnya. Kena bersabarlah hingga ke akhirnya. Akhir nyawa, akhir dunia. Pahit menahan sabar itu kerana hasil yang menunggu di akhirnya sangat manis. Redha...

Redha suami, redha ibu bapa...menuju kepada redha Tuhan. Tatkala Tuhan telah redha...Syurgalah jawabnya. Berbaloikah sabar? Sangat berbaloi. Sakit yang ditahan, diterima dengan sabar, dalam masa yang sama terus memberi...destinasinya Redha. Maha Suci Allah!


Hidup ini Pemberian, Cara Hidup itu Pilihan


Tersengih-sengih Abang minta maaf, tahu diri tu salahkan. Sabar Angah...Memberi maaf itu indah!


(walaupun cuka pun tak semasam muka Angah tu..he3). Cubaan...


Diberi nyawa, mendapat kehidupan ini adalah kerja Tuhan. Merayulah sehebat manapun, apabila hendak ditarikNya, tidaklah akan lewat sesaat dan tidak pula cepat sesaat.

Apabila nyawa sedang di badan, ketika itu Tuhan menilai kebijaksaanaan insan. Tatkala nyawa terpisah dari tubuh, luruhlah segala milikan, menunggu detik dihisab amalan.

Kebijaksanaan insan bergantung kepada pilihan. Cara hidup mana menjadi amalan, bukan lah sekadar kebetulan. Tetapi bersandarkan ilmu dan kemahiran. Bagaimana melaksana tugas khalifah, memakmur bumi dengan syariat Tuhan.

Pilihan itu perlu dibuat sekarang...sekarang. Bukan di depan Tuhan nanti. Pilihan sekarang akan menentukan nasib badan di negeri abadi itu. Jika impikan syurga yang damai mewah itu, jalan ke syurgalah yang perlu diterokai.

Jika rasa mampu menanggung peritnya api neraka yang berpuluh kali ganda panas dari api dunia ini, silakanlah. Campakkan diri anda ke dalam kebinasaan itu...

Hari ini milik kita...esok adalah impian, semalam adalah kenangan. Esok belum pasti, semalam telah pasti berlalu. Jadi, hari inilah yang utama...mulakan dengan hari ini.


"Sesuatu yang telah ditentukan oleh Allah pasti akan datang, maka janganlah kalian minta disegerakan..." (An-Nahl:1)

Aku...

Peace...2010 and ahead!


Ceria bersama Mawaddah...


Aku memilih untuk bahagia 2010 ini. Dan seterusnya..., Amin...Aku memilih untuk hidup dalam Ad-Din. Aku memilih untuk bahagia dengan Ad-Din. Memang tak semudah berkata...atau menulis...Tetapi, langkah ke seratus itu bermula dengan langkah pertama. 'Begin with an end in mind".

Motif harus tepat, niat mesti suci. Jika tersilap pelaksanaan, boleh diperbaiki. Jika berbeza pendapat, disitulah rahmatnya. Cara pelaksanaan sentiasa menuntut keberanian. Berani untuk jatuh, dan cepat bangun kembali.

Sejarah membicarakan bagaimana Salahuddin Al-Ayyubi ditimpa kekalahan demi kegagalan sebelum dapat menakluki Baitul Maqdis dari jajahan si kuffar.

Bukan gagal yang harus digeruni, tapi gerunlah pada kelemahan diri yang takut gagal. Gagal dan kalah itu tidak salah. Cabarannya adalah kumpulkan kekuatan untuk bangun kembali...Subhanallah!

Aku juga memilih untuk hidup bersama keluarga besarku...mengharap mawaddah dan rahmah. (serius!...dengan Mawaddah! he3). Amin...


" Sedang ia tidak menanggung budi sesiapapun, yang patut dibalas, hanyalah mengharapkan keredhaan Tuhannya Yang Maha Tinggi; dan demi sesungguhnya, ia tetap akan berpuas hati (pada hari akhirat, dengan mendapat segala yang diharapkankannya." (Al-Lail: 19-21)























October 04, 2009

Misi Menjalin Ukhuwwah Menjana Taqwa

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:


“Seseorang Muslim itu adalah saudara Muslim yang lain. Dia tidak menzaliminya dan tidak menyerahkannya (kepada musuh), barangsiapa yang menunaikan hajat saudaranya nescaya Allah akan menunaikan hajatnya, dan barangsiapa yang menghilangkan daripada seorang Muslim satu kesusahan nescaya Allah akan menghilangkan satu kesusahan daripada kesusahan-kesusahannya pada hari kiamat kelak, dan barangsiapa yang menyembunyikan (keaiban) seorang muslim nescaya Allah akan menyembunyikan (keaibannya) pada hari kiamat.” – Riwayat Bukhori dan Muslim

Aidil Fitri tahun ini disambut dengan semangat luar biasa kerana DIA mengurniakan bukan sahaja kehidupan baru untukku dan anak-anak, malahan tersedia peluang dan ruang menjalin silaturrahim dengan orang-orang baru sebagai saudara seaqidah yang selama ini tersembunyi di daerah yang hanya DIA yang tahu. Alhamdulillah. Moga ukhuwwah ini terbina demi menuju destinasi utama, mardhatillah.

16 Syawal 1430H- Jalinan ukhuwwah hikmah Aidil Fitri di Setapak, KL.

Kesesakan jalan raya di MRR2 dan arah perjalanan yang penuh 'misteri' tidak mencacatkan sedikitpun niat untuk menjalin ukhuwwah petang Ahad lalu (misteri kerana pemandunya adalah termasuk dalam golongan 'buta Kuala Lumpur', he3). Menempuh kesesakan dan mencari arah yang betul walaupun sedikit gusar dan terganggu namun apabila mengenangkan betapa besarnya fadhilat menjalin silaturrahim hilang segala kegusaran minda. Sesungguhnya hikmah Aidil Fitri sangat besar dalam menjalin ukhuwwah yang baru dan menyambung ukhuwwah yang terputus.
Menghayati alam Tuhan bersama suami tercinta...

Terima kasih Tuhan kerana mengurniakan bagiku kehidupan baru ini. Walaupun minda sedarku kerap mengingatkan bahawa yang menunggu dan tersedia didepanku adalah ujian demi ujian, aku tetap teguh dengan keyakinan bahawa Engkau lebih tahu apa yang terbaik untuk diriku. Justeru, minda sedar itu akan disokong dengan strategi demi strategi untuk melalui ujian-ujian yang bakal datang. Oleh itu, Tuhan...Persediaan utamaku pastilah seperti sebelum ini ketika dilanda keperitan perasaan...Husnuz Dzan terhadapMu. Mana mungkin Pencipta akan menganiaya ciptaanNya sendiri. Demi mengharap kasihMu...Aku sedia.

Misi Menjalin Ukhuwwah Demi DIA

Misi membina ukhuwwah adalah misi besar, misi aqidah. Tersedia ruang yang luas untuk memberi bukan menerima. Memberi demi dakwah. Oleh itu, ia bukan sebarangan misi. Jika misi ini dilaksanakan tanpa landasan ilmu dan kemahiran, nescaya timbullah matlamat tidak menghalalkan cara. Ruginya...

Aku ingin mengingatkan diri sendiri di sini, selalu menetapkan niat yang betul dan benar dalam menjalin ukhuwwah; dan membetulkan kembali niat yang tersasar. Strategi-strategi memaksimakan 'output' ukhuwwah perlu sangat kita perhati dan amalkan. Mari kita berkongsi...

  1. Cinta semata-mata kerana Allah: Kerana tidak ada kepentingan duniawi di sebaliknya. Allah berfirman di dalam hadis qudsi: Orang-orang yang berkasih sayang kerana keagunganku bagi mereka mimbar-mimbar daripada cahaya, mereka dicemburui oleh para nabi dan orang-orang yang mati syahid (syuhada’).
  2. Berlapang dada: Ia adalah cara yang sangat berguna supaya dapat menerima apa yang dilakukan oleh orang lain tanpa rasa dengki, benci, berniat jahat atau buruk sangka. Begitu juga, supaya kita mampu bersangka baik terhadap saudara-saudara kita. Rasulullah S.A.W. bersabda yang bermaksud: Janganlah kamu saling memutuskan hubungan, saling belakang membelakangi, saling benci membenci serta saling berdengki, dan jadilah hamba-hamba Allah yang bersaudara, tidak halal bagi seorang muslim untuk tidak bertegur sapa dengan saudaranya lebih daripada tiga (hari).
  3. Saling nasihat menasihati dan berpesan-pesan: Sesungguhnya seorang Muslim itu tidak melalui jalan yang aman, akan tetapi dia menempuhi jalan yang penuh dengan kesusahan, liku-liku, halangan dan tipudaya. Selain itu, syaitan manusia dan jin sentiasa menggangu dan menggodanya. Justeru, di dalam menempuhi jalan tersebut, dia sangat memerlukan teman yang mendidik, membimbing, menasihat dan mengingatkannya ketika terlupa dan membantunya ketika ingat. Benarlah firman Allah S.W.T. : “Demi masa. Sesungguhnya manusia berada dalam kerugian. Kecuali mereka yang beriman, beramal soleh, dan berpesan-pesan pada kebenaran jua berpesan-pesan pada kesabaran.”

    Namun begitu, kita perlu menitik beratkan beberapa adab di dalam memberi nasihat dan pesanan:

    • Memberi nasihat dalam keadaan tersembunyi dan bukan di khalayak ramai.
    • Berhikmah (sesuai dengan keadaan) dan menggunakan kata-kata yang baik.
    • Berlemah lembut di dalam memberikan nasihat.
  4. Mengetahui kebaikan dan kelebihan saudara kita: Allah berfirman yang bermaksud, “Dan janganlah kamu lupa kebaikan di antara kamu.” (Al-Baqarah). Seseorang itu akan mampu menyayangi, menerima dan mematuhi seseorang yang lain dengan mengetahui kelebihan dan kebaikan yang terdapat padanya.
  5. Berterus terang: Kerana ia mampu menghilangkan perasaan-perasaan yang boleh mengeruhkan ikatan ukhuwwah dengan syarat ia dilakukan dengan adab-adabnya dan cara yang betul. Justeru, seorang Muslim seharusnya berterus terang dengan saudaranya tentang apa yang terdapat di dalam hatinya kerana mungkin dengan cara itu dia dapat menyembuhkan keresahan hatinya yang pasti akan memberi kesan kepada kelapangan dadanya.

    Kita seharusnya mengambil pengajaran tentang perkara tersebut daripada sirah Baginda Rasulullah S.A.W. dan sahabat-sahabatnya. Semasa Bai’ah Aqabah yang kedua, Abu Haisam bin Attihan berterus terang serta meminta pandangan daripada Rasulullah tentang sesuatu yang berlegar di fikirannya lalu dia berkata: Wahai Rasulallah, sesungguhnya kami mempunyai hubungan sebelum ini dengan orang-orang Yahudi dan kami akan memutuskannya. Justeru, jika kami melakukan sedemikian, kemudian Allah mengurniakan kemenangan kepadamu maka adakah engkau akan meninggalkan kami? Lalu Nabi S.A.W. menjawab sambil tersenyum: Bahkan darah, darah dan kebinasaan, kebinasaan (bagi orang-orang Yahudi). Aku adalah di kalanganmu dan kamu semua adalah di kalanganku, aku memusuhi sesiapa yang kamu musuhi dan tidak akan memusuhi sesiapa yang kamu tidak musuhi.”

  6. Bertolak ansur dan berlemah lembut: Ia seharusnya menjadi akhlak seorang pejuang Islam walaupun terhadap orang yang menzaliminya.
-sekalung terima kasih dan salam ukhuwwah buat ismamesir.com, perkongsian stategi-strategi di atas.

Dr. Abdullah Nasih Ulwan mengatakan “ Ukhuwah merupakan kekuatan iman yang melahirkan perasaan kasih sayang yang mendalam, cinta, penghormatan dan rasa saling tsiqah (baca; saling percaya), terhadap seluruh insan yang memiliki ikatan aqidah Islamiyah yang sama dan juga yang memiliki cahaya keimanan dan ketaqwaan...“

Salam Ukhuwwah
~Ummu Ihsan






















September 20, 2009

Graduasi Universiti 'Ramadhan'...Sijil Dekan?

1 Syawal-Konvokesyen Universiti 'Ramadhan'

29 hari tempoh pengajian di Universiti 'Ramadhan' pada sesi ini walaupun singkat tetapi tetap memberi kesan yang sama seperti sesi-sesi yang sudah. Kesannya samada berjaya atau gagal. gagal itu sudah pasti dimaklumi semua, keluar Universiti tanpa ijazahnya, masa pengajian terbuang begitu sahaja. Rugi!

Berjaya bagi pelajar-pelajar yang telah mengharungi cabaran-cabaran dengan penuh persediaan secara mental, fizikal dan spiritual. Keluar dari Universiti 'Ramadhan' dengan segulung ijazah 'ketaqwaan'. Mabruk!

AWAS!

Tetapi, Awas! Jangan tertipu dengan mudah berpuas hati dengan kejayaan melaluinya. Berjaya ini jua perlu diukur pada pencapaian 'CGPA'nya. Lulus dengan cukup makan, atau 3.0 pointer atau pemegang anugerah Sijil Dekan? Adakah sama bagi yang lulus cukup makan dengan pemegang anugerah Sijil Dekan? Fikirkan...

Apapun tahap kelulusan yang diperolehi, ianya sangat bergantung kepada persediaan rapi yang disusun sebelum melangkah masuk Universiti ini. Persediaan dari segi bahan mentahnya...ilmu. Dan bahan mentah ini akan diadun bersama ramuan-ramuan lain seperti mujahadatun nafs, muraqabah dan muhasabah agar tercanai menjadi amalnya. Nampak seakan rumit. Itulah...High Risk; High Return! Kemanisannya hanya akan dirasai oleh mereka yang berjaya menempuh kepahitannya. Mana mungkin ubat yang pahit boleh memberi kesan selagi tidak dijamah secara berjadual dan disiplin. Hmm...Falsafah nampaknya.

Kita semua adalah pelajar-pelajar yang telah melalui tempoh pengajian di Universiti 'Ramadhan' sesi ini. Maka muhasabahlah diri, tentukan gagal atau berjaya, jika berjaya pula, koreksilah di tahap mana kelulsan kita. Jika gagal...Tepuk dada; Janalah Iman! Kekurangannya tidak lain tidak bukan pada tahap iman dalam diri. Adakah sekadar iman taklid seumur hidup? Atau kita menghadapi krisis 'keyakinan' terhadap perintah Tuhan yang penuh hikmah untuk kehidupan dunia dan akhirat ini...Yang mana satu?

Ummi ingin menyeru kepada diri sendiri terutamanya, dan pembaca di luar sana. Universiti 'Ramadhan' ini hanya terbuka setahun sekali sahaja. Jangan kita memilih menjadi orang-orang yang rugi apabila melaluinya dengan kegagalan demi kegagalan. Setiap tahun yang berlalu, semakin dekat saat nyawa bercerai dari jasad. Pada saat itu, tidak berguna dunia dan isinya, kecuali amalan yang ikhlas dapat menemani kita di sana...

Mari kita hayati bait-bait senikata lagu favourite Ummi di bawah dan renungkan...

Menanti Di Barzakh

Ku Merintih, Aku Menangis,
Ku Meratap, Aku Mengharap,
Ku Meminta Dihidupkan Semula,
Agar Dapat Kembali Ke Dunia Nyata,

Perjalanan Rohku,
Melengkapi Sebuah Kembara,
Singgah Di Rahim Bonda,
Sebelum Menjejak Ke Dunia,

Menanti Di Barzakh,
Sebelum Berangkat Ke Mahsyar,
Diperhitung Amalan,
Penentu Syurga Atau Sebaliknya,

Tanah Yang Basah Berwarna Merah,
Semerah Mawar Dan Juga Rindu,
7 Langkah Pun Baru Berlalu,
Seusai Talkin Penanda Syahdu,

Tenang Dan Damai Di Pusaraku,
Nisan Batu Menjadi Tugu,
Namun Tak Siapa Pun Tahu Resah Penantianku,

Terbangkitnya Aku Dari Sebuah Kematian,
Seakan Ku Dengari,
Tangis Mereka Yang Ku Tinggalkan,
Kehidupan Disini Bukan Suatu Khayalan x2
Tetapi Ia Sebenar Kejadian x2

Kembali Oh Kembali,
Kembalilah Ke dalam Diri,
Sendirian Sendiri,
Sendiri Bertemankan Sepi,

Hanya Kain Putih Yang Membaluti Tubuhku,
Terbujur Dan Kaku,
Jasad Terbujur Didalam Keranda Kayu,
Ajal Yang Datang Dibuka Pintu ,

Tiada Siapa Yang Memberi Tahu,
Tiada Siapa Pun Dapat Hindari,
Tiada Siapa Yang Terkecuali,
Lemah Jemari Nafas Terhenti,
Tidak Tergambar Sakitnya Mati,
Cukup sekali Jasadku Untuk Mengulangi,

Jantung Berdenyut Kencang,
Menantikan Malaikat Datang,
Mengigil Ketakutan Gelap Pekat Dipandangan,
Selama Ini Diceritakan x2
Kini Aku Merasakan x2
Dialam Barzakh Jasad Dikebumikan x2

Kumerintih, Aku Menangis,
Kumeratap, Aku Mengharap,
Kumeminta Dihidupkan Semula,
Agar Dapat Kembali Ke Dunia Nyata

~Ummu Ihsan
1 Syawal 1430H

July 20, 2009

Solar Eclipse...



According to Wikipedia : a solar eclipse occurs when the moon passes between the Sun and the Earth so that the Sun is fully or partially covered. This can only happen during a new moon, when the Sun and Moon are in conjunction as seen from the Earth. At least two and up to five solar eclipses can occur each year on Earth, with between zero and two of them being total eclipses. Total solar eclipses are nevertheless rare at any location because during each eclipse totality exists only along a narrow corridor in the relatively tiny area of the Moon's umbra.

Well, as I heard this morning while driving to school, tomorrow- 22 July 2009 some Asia countries will be able to see a natural phenomenon: a solar eclipse. Subhanallah, all praise be to Him, the Almighty who is controlling every single thing in this world and things up there.

For us Muslims, we are encouraged to observe 'solat sunat gerhana', and better in congregation at the mosque as normally there will be a 'khutbah' recitation. It is highly encouraged to observe these two 'ibadah' as it is 'sunat muakkad'.

I believe this is a sign from millions signs of God's creation. Through this kind of natural phenomenon, we could evaluate our own belief towards His power in controlling all worldly things, it is just the right time to measure the deepness of our 'tauhid rububiyyah'. Are we always with Him? Have we thanked Him for everything we got in this world?

So...I am telling myself and inviting all out there, come let us be thankful to Him and instill a 100% belief to His power in our heart. Everything is possible when He says 'Kun'!

Subhanallah!

July 19, 2009

Buah Tangan Terbaru Tuan Guru.

Segala puji bagi Allah yang telah mengizinkan aku untuk menceduk 'sedikit' khazanah perubatan Islam dari tokoh yang tidak perlu diperkenalkan lagi, yang kukasihi Tuan Guru Dato' Dr. Haron Din. Moga Allah memberi kesihatan dan kelapangan untuk beliau terus berkongsi berkaitan bidang ini.

Baru-baru ini telah diadakan Majlis Pelancaran Buku Terbaru Tuan Guru : Menjawab Persoalan Makhluk Halus: Kaitannya dengan Penyakit & Pengubatan. Isu makhluk halus ini tidak asing dalam kalangan masyarakat terutamanya budaya dan adat Melayu itu sendiri. Bermacam-macam andaian dan gambaran dibuat dan akhirnya berubah menjadi kepercayaan generasi turun temurun. Sayangnya, tidak semua andaian dan gambaran tersebut benar, malahan ada yang tersasar jauh daripada landasan Quran dan hadith.

Marilah kita bersama-sama cuba memahami isu ini secara benar melalui landasan sahih yang dituntut, iaitu Quran dan Hadith. Justeru, buku terbaru Tuan Guru ini sangat layak dijadikan panduan kita memahami isu ghaib ini. Inilah dia...






Berikut dipetik Mukadimah Tuan Guru dari buku tersebut;

MUKADIMAH PENGARANG

Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani. Segala puji hanya bagi Allah, Tuhan semesta alam. Kepada-Nya kami meminta pertolongan dalam urusan-urusan dunia dan akhirat. Selawat dan salam ke atas Rasul kami yang sangat amanah, penghulu kami Nabi Muhammad SAW, keluarga dan para sahabat baginda sekalian.

Saya sering menerima soalan sama ada melalui surat atau yang bertanya terus di majlis-majlis kuliah. Di antara soalan yang berulang kali diajukan kepada saya ialah yang berkaitan dengan makhluk halus seperti jin, qarin, sihir, rasukan, bunian, saka, orang mati hidup semula, penggunaan tangkal, penyakit yang disebabkan oleh jin dan sebagainya.

Mereka meminta pendapat saya walaupun ramai alim ulama’ lain di Malaysia yang boleh memberikan jawapan yang sama dengan saya.

Memandangkan persoalan ini berhubung kait dengan soal aqidah, maka menjadi suatu kefarduan kepada saya untuk menjelaskannya. Persoalan masyarakat ini perlu dirungkaikan supaya mereka tidak terus terjebak dengan amalan syirik.

Masyarakat perlu didedahkan dengan maklumat daripada sumber yang sahih terutama sekali jika ia melibatkan soal aqidah.

Saya telah berusaha menjawab setiap persoalan dengan berlandaskan hujah-hujah yang sahih daripada al-Quran dan al-Hadith.

Kesemua jawapan ini sebenarnya merupakan respon saya kepada soalan yang diajukan melalui akhbar Harakah. Saya telah melahirkan hasrat saya kepada Ahli Jawatankuasa Darussyifa’ supaya koleksi soal jawab yang pernah tersiar dalam akhbar Harakah ini dibukukan.

Saya amat berharap usaha pembukuan soal jawab ini dapat memberikan manfaat yang besar kepada masyarakat bahkan saya berdoa moga buah tangan saya ini dapat mengurangkan seterusnya menghapuskan fahaman dan amalan khurafat yang masih berakar umbi di dalam masyarakat kita.

Hanya Allah SWT sahaja yang Maha Sempurna lagi Maha Benar, manakala yang salah dan silap adalah daripada insan yang bersifat lemah.

Semoga Allah SWT mengampuni kesalahan dan kekhilafan yang tidak disengajakan. Kepada Allah SWT kita memohon rahmat dan berkat. Semoga Allah SWT sentiasa mengabulkan usaha kita dan menjadikannya sebagai amalan soleh.

Ikhlas daripada saya,

Dato’ Dr. Haron Din
Pengasas dan Penasihat Darussyifa’
30 Mac 2009M / 3 Rabiul Akhir 1430H

ISI KANDUNGAN BUKU INI
======================

BAB-1: PERSOALAN UMUM BERKAITAN MAKHLUK HALUS
BAB-2: PERSOALAN BERKAITAN JIN, BUNIAN, QARIN DAN SAKA
BAB-3: PERSOALAN BERKAITAN TANGKAL
BAB-4: PERSOALAN BERKAITAN SIHIR
BAB-5: PERSOALAN BERKAITAN ILMU GHAIB
BAB-6: PERSOALAN UMUM
BAB-7: DOA-DOA DAN AYAT-AYAT AL-QURAN UNTUK MENGATASI GANGGUAN MAKHLUK HALUS

July 14, 2009

Jodoh..Jodoh..Jodoh


Jodoh ada tiga jenis :

Jodoh dari Syaitan… berkenalan, berpegangan tangan, buat maksiat, mengandung lalu bernikah.


Jodoh dari Jin… berkenalan, bertepuk sebelah tangan, lalu dibomoh dan disihirkan sebelah pihak sampai tunduk mengikut kemahuan lalu bernikah.

Jodoh dari Allah… cinta berputik, masuk meminang dan langsung bernikah, itulah SYURGA CINTA.

Kata-kata di atas adalah dialog di dalam filem Syurga Cinta arahan Pengarah muda, Ahmad Idham. Hebat juga mesej jodoh dalam filem ini. Walaupun Ummi bukan peminat filem, mesej berunsur realiti dan dakwah seperti ini menarik minat diri.

Dialog di atas sangat relevan dan signifikan dengan dunia nyata zaman kini. Semua insan ingin memiliki teman istimewa dan ditemukan jodoh sebagai tanda hubungan yang mantap. Kajian ahli psikologi juga menyebutkan pada tahap umur remaja hingga awal dewasa, setiap manusia berhadapan 'life task' untuk menemukan pasangan intim dan memenuhi jiwa dengan rasa cinta dan dicintai. Kegagalan melepasi tahap ini membawa kesan negatif, seseorang akan membentuk personaliti yang tidak sihat dan cenderung bersifat rendah diri.

Realitinya, banyak pasangan yang menyangka telah membina hubungan 'suci', tetapi hakikatnya jodohnya dikelilingi tipu daya syaitan laknatullah. Akhirnya, matlamat utama syaitan mengheret seramai mungkin 'teman' ke neraka tercapai dengan mudahnya. Mudah sungguh kita tertipu lantaran tidak mengenali 'profil' makhluk ini. Iyalah kan...makhluk laknatullah ini tidak mendaftar diri di laman sosial seperti Tagged, Friendster, MySpace dan sebagainya untuk diintai 'profil' mereka. Hanya Jauhari mengenal Manikam...



Sedih pula untuk mengakui hakikat wujudnya jod
oh jenis kedua. Ramai rupanya manusia di dunia sementara ini melepaskan segala hajat melalui jalan pintas dan tergamak menghalalkan segala cara. Ummi yakin, jodoh sebegini tidak ke mana akhirnya. Bagai mengharap panas hingga ke petang, rupanya hujan di tengahari. Natijahnya, makan diri sendiri.

Emm...Tenang dan berbahagialah orang-orang yang berjaya memperoleh jodoh ketiga ini. Daripada sinilah akan terbina rumahtangga mawaddah, sakinah dan rahmah, impian mukmin dan mukminat . Barakah mengelilingi rumahtangga mereka walau terpaksa menempuh jua ujian-ujian peneguh kasih sayang yang berpanjangan. Subhanallah...



Ada jua insan di dunia ini yang tenggelam dalam kekecewaan kerana jodoh yang tidak kesampaian. Hidup dilanda resah dan rendah diri lantaran membandingkan diri yang tidak berjodoh dengan teman-teman yang telahpun selamat membina 'masjid'. Tuhan tidak adil?
MasyaAllah, jauh sekali Tuhan daripada sifat zalim. Hanyalah kita sebagai hambaNya tidak mampu menelah dan mentafsir ujian tersebut secara hikmah.

Ajaibnya orang mukmin dan mukminat itu kerana berjaya bersyukur ketika dilimpahi nikmat dan bersabar ketika ditimpa ujian. Barakallah.

Bagi mereka yang dilanda sindrom rendah diri kerana tidak berjodoh, fahamilah artikel di bawah yang Ummi 'import' daripada Forum eKPKM, Bincang-Bincang Mahasiswa.


Paradigma Jodoh Dalam Islam
Islam memandang kehidupan manusia ini bukan hanya untuk satu dunia sahaja. Ada dunia fana, ada dunia abadi ( akhirat ). Kalaulah benar ada kaedah atau nas yang mengatakan bahawa setiap manusia sudah diciptakan berpasangan, maka pastilah maksudnya perkara ini tidak dibatasi hanya terbatas di dunia sahaja. Jadi mungkin sahaja ada manusia yang akan baru bertemu jodohnya di akhirat.

Bahkan menurut salah satu riwayat, dari sekian isteri Nabi Muhammad SAW di dunia ini, hanya satu yang menjadi jodoh beliau di akhirat. Lantas yang lain bagaimana? Ada nas lain yang menyebutkan bahawa wanita-wanita Syurga akan mempunyai berpuluh-puluh jodoh di Syurga ( setiap orangnya ). Dan di sana nanti tidak akan ada orang yang iri kerana semua akan mendapatkan yang paling ia inginkan.

Syarat bahawa seorang manusia yang belum berjodoh di dunia ini akan mendapatkan jodoh yang prima di akhirat adalah bahawa:

1. Ia manusia yang baik iman dan taqwanya selama di dunia sehingga dapat masuk Syurga.
2. Ia sabar atas ujian Allah di dunia yang telah menetapkannya sebagai bujang di dunia.

Dengan meyakini Akhirat sebagai satu paket dengan kehidupan dunia, maka kita juga akan memahami mengapa ada manusia-manusia yang baik tetapi di dunia ini berjodoh dengan manusia-manusia yang sebaliknya, dan ternyata akhirnya sebahagian diantara mereka bercerai.

Tentang fenomena ini kita yakini bahawa Allah sedang mengujinya dengan orang yang buruk, apakah ia bersabar? Jika Allah berkenan, maka kelak (masih di dunia) Allah akan menggantikan pasangan hidupnya dengan yang baik. Atau kerana kesabarannya di dunia maka kelak Allah akan memberikan ganjaran padanya dengan berlipat ganda. Contoh yang disebutkan Allah dalam Al Quran adalah kisah wanita utama yang bernama Asiah, isteri Firaun (manusia terzalim dan terkafir yang pernah ada). Doanya di dunia ini diabadikan oleh Allah dalam Surah At-Tahriim Ayat 11:
"Dan Allah mengemukakan satu misal perbandingan (yang menyatakan tidak ada mudaratnya) kepada orang-orang mukmin (berhubung rapat dengan orang-orang kafir kalau tidak terjejas keadaan imannya), iaitu: Perihal isteri Firaun, ketika dia berkata: Wahai Tuhanku! Binalah untukku sebuah rumah di sisiMu dalam Syurga dan selamatkanlah daku dari Firaun dan perbuatannya (yang kufur dan buas), serta selamatkanlah daku dari kaum yang zalim"

Asiah tahu bahawa kesabarannya atas ujian Allah menjadikannya isteri orang kafir dan zalim akan mendapat ganjaran di Syurga dan kerana itu ia meminta perlindungan Allah agar tidak kena serangan Firaun dan agar ia diberi rumah di Syurga (sebagai ganti kemuakannya atas istana megah firaun di dunia).

Hikmah mengapa Allah menguji Asiah menjadi isteri orang jahat adalah berhubungan dengan kisah Nabi Musa AS yang lahir dari keluarga miskin yang jika tetap dibesarkan sebagai anak keluarga miskin bukan sahaja tidak boleh mendapatkan pendidikan yang baik yang diperlukannya untuk kelak memimpin umat, namun juga tidak akan punya kesempatan hidup. Adalah Asiah (yang disayangi Firaun) yang memujuk Firaun untuk mengangkat bayi dalam keranjang yang ditemukan di sungai Nil sebagai anak angkat mereka. Padahal Firaun telah memerintahkan membunuh semua bayi bani Israil yang lahir tahun itu kerana sudah mendapat pengetahuan berita (melalui tafsir mimpi) bahawa kekuatannya akan dihancurkan oleh seorang pemuda bani Israil yang lahir di tahun itu. Malah Allah mengirim Nabi Musa langsung ke istananya dan di sana sudah menanti rencana Allah dengan penerajunya adalah Asiah Binti Muzahim (Asiah ini juga bani Israil yang dijadikan gundik Firaun kerana kecantikannya, selama di istana Firaun ia tetap beriman dan ialah yang mendidik Nabi Musa AS bersama budak Maisarah dan ibunda Nabi Musa sebagai ibu susu bayaran).

Kisah ini dapat anda jadikan sebagai pelajaran bahawa Allah lebih mengetahui hikmah-hikmah peristiwa, yang kerana kesabarannya menjalankan takdir Allah di dunia menjadi isteri orang jahat, Asiah malah mendapatkan kurnia diangkat Allah sebagai wanita terbaik sepanjang zaman.

Kisah yang sebaliknya anda temukan justeru di ayat sebelumnya, iaitu tentang jodoh 2 orang Nabi Allah di dunia yang kedua wanita itu adalah wanita terjahat sepanjang zaman (isteri Lut dan isteri Nuh):
"Allah mengemukakan satu misal perbandingan (yang menyatakan tidak ada manfaatnya) bagi orang-orang kafir ( berhubung rapat dengan orang-orang mukmin selagi mereka tidak beriman dengan sebenar-benarnya ), iaitu: Perihal isteri Nabi Nuh dan isteri Nabi Lut; mereka berdua berada di bawah jagaan dua orang hamba yang soleh dari hamba-hamba Kami (yang sewajibnya mereka berdua taati); dalam pada itu mereka berlaku khianat kepada suami masing-masing; maka kedua-dua suami mereka (yang berpangkat Nabi itu) tidak dapat memberikan sebarang pertolongan kepada mereka dari (azab) Allah dan (sebaliknya) dikatakan kepada mereka berdua (pada hari pembalasan): Masuklah kamu berdua ke dalam Neraka bersama-sama orang-orang yang masuk (ke situ). " Q.S At-Tahriim : Ayat 10

Mungkin ada benarnya bagi sebahagian kisah manusia iaitu bahawa ada manusia-manusia yang sepanjang perjalanan hidupnya sudah diberikan pilihan yang baik di depan mata yang kemudian kerana kekotoran hatinya tidak ia ambil kesempatan itu sehingga terlepaslah kesempatan emas. Wallahu'alam, mungkin sahaja, namun tetap sahaja jika seorang manusia bersabar atas apapun ujian Allah di dunia ini, maka ganjarannya akan ia dapatkan dari Allah.

Yang namanya kejayaan sebagai manusia sebenarnya tidak tergantung dari apakah ia mempunyai jodoh di dunia atau tidak, namun Islam mempunyai paradigma kejayaan yang tidak dapat diselaraskan dengan paradigma kejayaan dari ideologi manapun. Kejayaan adalah "Barangsiapa yang dijauhkan dari Neraka dan dimasukkan ke dalam Syurga, maka mereka itulah orang-orang yang menang."

Jika ada orang yang mempunyai jodoh orang baik, namun ia sendiri tidak menjadi orang baik, maka contohnya adalah isteri Nuh dan isteri Lut yang keduanya malah menjadi wanita terburuk sepanjang zaman! Sebaliknya jodoh yang paling buruk dan paling zalim bagi seorang Asiah malah ia menjadi salah satu wanita terbaik sepanjang zaman.

Satu lagi contoh wanita terbaik adalah Maryam binti Imran yang menjadi wanita terbaik kerana menjaga kesucian dirinya dan kemudian diberi kurnia anak yang sholeh iaitu Nabi Isa AS.

July 12, 2009

Masa Mengheret Usia

Hari ini
13 Julai 2009...bahagia atau derita? Tenang atau gundah? Gembira atau sedih?

Hari ini 13 Julai 2009, usia telah meningkat setahun lagi beberapa hari lalu. Gembira? Ya! Kerana makin hampir dengan DIA. Setahun yang bertambah bermakna makin dekat dengan saat dipanggil bertemuNya. Gembira dalam cemas. Gembira akan berjumpa DIA, cemas kerana tidak cukup persediaan. Perjalanan bertemu kekasih pastilah perjalanan yang membahagiakan...tetapi ini lain pula. Persediaannya belum cukup...Sampai bila nak cukup ni? Wahai Tuhan yang Maha Memelihara...Suburkan imanku, kuatkan semangat dan tenagaku untuk beramal soleh keranaMU dan jauhkan aku dari fitnah dunia yang menipu...

Terima kasih Tuhan...
NikmatMu melimpah-limpah. Tak mungkin akan terbalas. Tenang aku dikurniakan Bonda yang penyayang dan pemurah, ayahanda yang cukup berjasa. Hari ini, 13 Julai 2009 tepat 8 bulan Abah di alam sana. Apapun, aku yakin Abah tersenyum gembira di sana kerana Abah insan yang baik. Al-Fatihah...Insan yang membawaku ke dunia...Terima kasih Bonda dan Ayahanda

Terima kasih Tuhan...
Hari ini, 13 Julai 2009 telah berlalu kisah pahit dalam hidup. Alhamdulillah, telah kusimpan dalam kotak berkunci 'masa lalu'. Peninggalan kisah pahit itu rupanya kini menjadi 'harta' berharga yang menemaniku sepanjang hidup. Moga 'harta' itu menjadi saham di akhirat nanti. Saham yang akan kutunaikan semasa menghadap Tuhan.

Bersama permata-permata hati saham akhirat

Bersama anak solehah Ummi...amin
Terima kasih Tuhan...
Hari ini 13 Julai 2009, hati bahagia dapat bersama anak-anak remaja yang dahaga kasih sayang dan pengisian rohani. Teruja dengan kelincahan dan kenakalan mereka, aku berupaya 'menurunkan' diri sepemikiran dan memahami hati dan naluri remaja. Aku juga pernah remaja, mengapa perlu 'menaikkan' darjat diri lantas jauh dari mereka. Bukankah rugi begitu? Ruang islah dan dakwah terlepas begitu sahaja.

Bersama remaja-remaja ' baik dan naif ', yang dahaga bimbingan

Terima kasih Tuhan,
Pinjaman usia sementara ini akan kucuba untuk mencapai ihsan dan taqwa. Mampu? Bukan destinasi yang kukejar tetapi proses mencapainya yang utama. Engkau menilai niatnya, Engkau jua mengiktiraf prosesnya. Sampai atau tidak pada destinasinya, kuserah pada ketentuanMu. Dalam usaha menghayati dan menghargai ciptaanMu, aku adalah pencinta alam...therapi paling hebat mengubat jiwa duniawi.
"Wahai hamba-hamba-Ku! Sesungguhnya ia adalah amalan-amalan kamu yang Aku hitungkan untukmu, kemudian Aku sempurnakan balasan kamu disebabkan amalan kamu. Maka sesiapa yang mendapat kebaikan maka hendaklah dia memuji Allah dan sesaipa yang mendapat selain daripada itu, maka janganlah dia mencela kecuali dirinya sendiri.”
-Diriwayatkan oleh Muslim dalam kitab “Berbuat baik” bab “Haram melakukan kezaliman”. Hadis nombor: 2577
Menerobos nikmat dalam diri melalui alam ciptaanNya


Rintihan Hati Sunnah Rasul

Ya Allah,
BagiMu segala pujian,
Engkaulah yang menegakkan langit dan bumi,
dan apa-apa yang berada di dalamnya

Ya Allah,
BagiMu segala pujian,
KepunyaanMu seluruh kerajaan langit dan bumi,
dan apa-apa yang berada di dalamnya

Ya Allah,
BagiMu segala pujian,
Engkaulah cahaya langit dan bumi,
dan apa-apa yang berada di dalamnya

Hanya bagiMu segala pujian,
Engkaulah Maha Haq

JanjiMu itu pasti benar,
Pertemuan denganMu adalah benar,
Kata-kataMu adalah benar,
SyurgaMu itu benar, Neraka itu benar,
Para Nabi itu adalah benar,
Muhammad adalah benar,
dan hari kiamat itu benar

Ya Allah,
Hanya untukMu aku menyembah,
Hanya kepadaMu aku beriman,
Hanya kepadaMu aku bertawakkal

Ya Allah,
KepadaMu aku kembali,
KeranaMu aku berjuang,
dan kepadaMU aku berhakim

Ampunilah dosa-dosaku yang terdahulu dan terkemudian,
Ampunilah dosa-dosa yang aku sembunyikan dan yang aku zahirkan,
dan semua dosaku yang Engkau lebih mengetahui daripada diriku sendiri

Engkaulah yang menyegerakan ,
dan Engkaulah yang mengakhirkan,
Tiada Tuhan selain Engkau,
Tiada daya dan kekuatan melainkan kerana Engkau,
Ya Allah...

-Hadis diriwayatkan oleh Bukhari
(Doa Nabi Muhammad semasa Baginda bangun tidur bagi bersolat tahajud)