Cinta ILAHI, Celik Hati, Tajam Aqli,

Terbina Peribadi...


July 12, 2009

Masa Mengheret Usia

Hari ini
13 Julai 2009...bahagia atau derita? Tenang atau gundah? Gembira atau sedih?

Hari ini 13 Julai 2009, usia telah meningkat setahun lagi beberapa hari lalu. Gembira? Ya! Kerana makin hampir dengan DIA. Setahun yang bertambah bermakna makin dekat dengan saat dipanggil bertemuNya. Gembira dalam cemas. Gembira akan berjumpa DIA, cemas kerana tidak cukup persediaan. Perjalanan bertemu kekasih pastilah perjalanan yang membahagiakan...tetapi ini lain pula. Persediaannya belum cukup...Sampai bila nak cukup ni? Wahai Tuhan yang Maha Memelihara...Suburkan imanku, kuatkan semangat dan tenagaku untuk beramal soleh keranaMU dan jauhkan aku dari fitnah dunia yang menipu...

Terima kasih Tuhan...
NikmatMu melimpah-limpah. Tak mungkin akan terbalas. Tenang aku dikurniakan Bonda yang penyayang dan pemurah, ayahanda yang cukup berjasa. Hari ini, 13 Julai 2009 tepat 8 bulan Abah di alam sana. Apapun, aku yakin Abah tersenyum gembira di sana kerana Abah insan yang baik. Al-Fatihah...Insan yang membawaku ke dunia...Terima kasih Bonda dan Ayahanda

Terima kasih Tuhan...
Hari ini, 13 Julai 2009 telah berlalu kisah pahit dalam hidup. Alhamdulillah, telah kusimpan dalam kotak berkunci 'masa lalu'. Peninggalan kisah pahit itu rupanya kini menjadi 'harta' berharga yang menemaniku sepanjang hidup. Moga 'harta' itu menjadi saham di akhirat nanti. Saham yang akan kutunaikan semasa menghadap Tuhan.

Bersama permata-permata hati saham akhirat

Bersama anak solehah Ummi...amin
Terima kasih Tuhan...
Hari ini 13 Julai 2009, hati bahagia dapat bersama anak-anak remaja yang dahaga kasih sayang dan pengisian rohani. Teruja dengan kelincahan dan kenakalan mereka, aku berupaya 'menurunkan' diri sepemikiran dan memahami hati dan naluri remaja. Aku juga pernah remaja, mengapa perlu 'menaikkan' darjat diri lantas jauh dari mereka. Bukankah rugi begitu? Ruang islah dan dakwah terlepas begitu sahaja.

Bersama remaja-remaja ' baik dan naif ', yang dahaga bimbingan

Terima kasih Tuhan,
Pinjaman usia sementara ini akan kucuba untuk mencapai ihsan dan taqwa. Mampu? Bukan destinasi yang kukejar tetapi proses mencapainya yang utama. Engkau menilai niatnya, Engkau jua mengiktiraf prosesnya. Sampai atau tidak pada destinasinya, kuserah pada ketentuanMu. Dalam usaha menghayati dan menghargai ciptaanMu, aku adalah pencinta alam...therapi paling hebat mengubat jiwa duniawi.
"Wahai hamba-hamba-Ku! Sesungguhnya ia adalah amalan-amalan kamu yang Aku hitungkan untukmu, kemudian Aku sempurnakan balasan kamu disebabkan amalan kamu. Maka sesiapa yang mendapat kebaikan maka hendaklah dia memuji Allah dan sesaipa yang mendapat selain daripada itu, maka janganlah dia mencela kecuali dirinya sendiri.”
-Diriwayatkan oleh Muslim dalam kitab “Berbuat baik” bab “Haram melakukan kezaliman”. Hadis nombor: 2577
Menerobos nikmat dalam diri melalui alam ciptaanNya


Rintihan Hati Sunnah Rasul

Ya Allah,
BagiMu segala pujian,
Engkaulah yang menegakkan langit dan bumi,
dan apa-apa yang berada di dalamnya

Ya Allah,
BagiMu segala pujian,
KepunyaanMu seluruh kerajaan langit dan bumi,
dan apa-apa yang berada di dalamnya

Ya Allah,
BagiMu segala pujian,
Engkaulah cahaya langit dan bumi,
dan apa-apa yang berada di dalamnya

Hanya bagiMu segala pujian,
Engkaulah Maha Haq

JanjiMu itu pasti benar,
Pertemuan denganMu adalah benar,
Kata-kataMu adalah benar,
SyurgaMu itu benar, Neraka itu benar,
Para Nabi itu adalah benar,
Muhammad adalah benar,
dan hari kiamat itu benar

Ya Allah,
Hanya untukMu aku menyembah,
Hanya kepadaMu aku beriman,
Hanya kepadaMu aku bertawakkal

Ya Allah,
KepadaMu aku kembali,
KeranaMu aku berjuang,
dan kepadaMU aku berhakim

Ampunilah dosa-dosaku yang terdahulu dan terkemudian,
Ampunilah dosa-dosa yang aku sembunyikan dan yang aku zahirkan,
dan semua dosaku yang Engkau lebih mengetahui daripada diriku sendiri

Engkaulah yang menyegerakan ,
dan Engkaulah yang mengakhirkan,
Tiada Tuhan selain Engkau,
Tiada daya dan kekuatan melainkan kerana Engkau,
Ya Allah...

-Hadis diriwayatkan oleh Bukhari
(Doa Nabi Muhammad semasa Baginda bangun tidur bagi bersolat tahajud)












No comments: