Cinta ILAHI, Celik Hati, Tajam Aqli,

Terbina Peribadi...


September 15, 2008

Palestin oh Palestin...Kenapa Palestin?






Seorang teman bertanya, "kenapa perlu bantu Palestin?".

"Negara kita sendiri banyak yang perlu bantu, kenapa Palestin?", gusarnya lagi.

"Anak-anak remaja kita ni lagi perlu dibantu, kenapa tak buat yang itu", gundah sungguh temanku ini.

"Iraq, Afghanistan, Sudan pun susah juga, kenapa Palestin sahaja dibantu?", teman yang lain pula bertanya.

Banyak sebenarnya persoalan-persoalan begini di luar sana. Bagi mereka yang terlibat secara aktif atau secara tidak langsung dalam pertubuhan-pertubuhan sukarela membantu derita Palestin dan mereka yang faham signifikan dan relevan antara Palestin, Baitul Maqdis dan Al-Aqsa dengan Islam, soalan-soalan yang sedaya upaya cuba dijawab adalah:

"Apa yang aku boleh lakukan untuk membantu?".


Kenapa Palestin?



Isu Palestin adalah isu umat Islam sejagat. Kenapa tidak, di situlah letaknya Masjid Al Aqsa yang merupakan qiblat pertama umat Islam dan tempat berlakunya peristiwa Isra’ dan Mi’raj. Masjid ini adalah masjid yang ke dua dibangunkan di muka bumi selepas Masjidil Haram dan merupakan masjid yang ke tiga suci di sisi Allah swt. Di bumi inilah telah dihantarnya para nabi secara berkesinambungan termasuklah Nabi Ibrahim, Nabi Sulaiman, Nabi Daud, Nabi Musa, Nabi Isa dan lain-lainnya untuk mengajak manusia agar beriman kepada Allah, Tuhan yang Esa.

Bumi ini telah dijajah silih berganti oleh bangsa Yahudi, Rom dan Parsi sehinggalah ianya dibuka kembali oleh Umar al Khattab yang telah mengistiharkan bahawa bumi ini adalah tanah wakaf milik umat Islam sehingga ke akhir zaman. Selepas itu, Palestin terus dinaungi keamanan dan keadilan di bawah pemerintahan Islam untuk ribuan tahun kecuali di abad ke 12 Masihi apabila bumi ini dinodai dengan kekejaman tentera salib. Namun Palestin telah dibebaskan semula oleh Solahuddin al Ayyubi yang berketurunan Kurdi. Tidakkah semua ini menjadi bukti yang kuat bahawa isu Palestin bukan sekadar isu orang Palestin sahaja, bukan isu orang-orang Arab sahaja bahkan isu Palestin adalah isu kita, isu umat Islam sejagat?

Silalah lawat http://www.amanpalestin.org untuk membaca lebih lanjut tentang isu Palestin ini. Jejakilah sejarah kemuliaan Palestin dan kisah deritanya bagi memantap keyakinan tentang bumi barakah yang dijanji Allah ini.


Mengenal Kepentingan ('Priority'), Jejak Sejarah & Sumbangan Kendiri



Mengetahui tingkat kepentingan sesuatu perkara adalah satu sumber terpenting dalam menetapkan sesuatu keputusan, dalam apa bidang dan aspek sekalipun. "To prioritize"; "fiqh al-aulawiyyat"-berilah bahasa apa pun, makna tetap satu...menentukan yang terutama dari senarai yang penting.

Apa agaknya unsur terpenting dalam hidup kita sebagai muslim dan mukmin? Bukankah ikatan dan simpulan keyakinan yang kita junjung melalui manifestasi syahadah, solat, puasa, haji dan zakat inilah yang menjadi akar 'pokok' kehidupan kita. Itulah aqidah. Amalan-amalan 'aqidah' ini pula bersandar kepada sistem kepercayaan bermula daripada iman kepada Allah, malaikat, rasul, kitab, hari kiamat dan qada' dan qadar.

Maka, teman-temanku jika kita iktiraf diri muslim dan usaha menjadi mukmin, adakah tega kita tinggalkan negara yang dijejaki oleh kaki yang dicintai Nabi kita semasa isra' mikraj, bumi yang juga bumi anbiya', kepada 'binatang bertopeng manusia' yang dengan rakus memijak-mijak kesucian masjid kiblat pertama kita? Fikir dan cari jawapan dalam diri...

Mana bukti syahadah kita? Apa bukti iman kepada Nabi yang kita pegang? Bukankah salah satu manifestasi cinta itu pertahan dan berkorban? Zikir dan fikir, jawapannya ada dalam diri-diri yang mencintai Allah dan Rasul...

Justeru, memilih yang terutama daripada lokasi-lokasi sengsara untuk menyumbangkan sedikit usaha adalah salah satu keputusan yang ummi pilih. Tidak salah juga membantu lokasi-lokasi lain, tetap jua dikira amal soleh. Nilainya biarlah DIA yang tentukan, kita rancang dan usahakan apa yang mampu.

Mari ambil iktibar dari kisah si burung kecil yang membawa air dengan paruhnya untuk membantu Nabi Allah Ibrahim yang dibakar oleh sang raja zalim. Logiknya, api yang marak dan marah itu tidak mungkin terpadam dengan air dari paruh si kecil itu. Namun, DIA menilai, dan penilaianNya jauh sekali dari logik minda kita yang terhad ini. Sesuatu amal itu dinilai pada niat, usaha dan ikhlas bukan pada outputnya, walaupun output yang cemerlang sangat diraikan.

Mari kita baca dan kaji sejarah. Di sana kita akan jumpa diri kita dan kita bakal mengenal kepentingan dalam membuat keputusan. Kaji sejarah negara barakah Palestin ini yang disebut dalam Quran, hadith, wasiat oleh para Sahabat dan Ulama'. Kata seorang pengkaji dan aktivis Palestin: "Sesiapa yang tidak membaca sejarah, dia tidak mungkin akan mengukir sejarah."

"Mengapa tidak tolong remaja negara kita yang 'sakit' bermacam gejala sekarang. Siapa pula nak buat yang itu jika kita tolong Palestin sahaja", luah teman Ummi itu.

Siapa pula yang asyik bantu Palestin SAHAJA? Bukankah bermacam pertubuhan yang kita lihat sedang usaha bantu remaja kita. Kita ada ABIM, JIM, ISMA, Nisa', Unit Amal dan lain-lain yang giat dengan bermacam aktiviti membantu remaja kita. Bagi Ummi sendiri, tugas sebagai Kaunselor di Sekolah Menengah ini jua menjadi wadah berdepan pelbagai isu remaja kini dan Ummi usahakan yang termampu dari sudut profesionalisme.

Nak Ummi juga yang tolong remaja di luar sana? Jangan sibuk dengan palestin sahaja? Jika begitu Ummi akan jadi seperti Mat Jenin yang lemas bersama labu-labunya...Manusia ini terhad kemampuannya, teman. Walaupun mahu nya luas tak bertepi.

Temanku...Ummi fikir yang terbaik ialah kita ubah gaya berfikir ke sudut yang baru. Tanya diri apa yang kita dah perbuat, dan apa yang kita boleh buat. Raikan orang lain dengan kelebihan dan peranan masing-masing. Usah risau output usaha kita, fikirkan input yang mampu kita beri. Berfikir begini bakal mengundang ketenangan!

Dunia ini sudah terlalu tua teman! Tidak padan untuk kita asyik bertanya apa yang orang lain dah buat, dan kita leka dengan urusan peribadi yang tidak mungkin ada khatamnya. Apa kata kita bergerak walau sedikit demi sedikit, bantu diri kita untuk membantu orang lain. Salam Perjuangan! Salam Ramadhan!

Wasiat Dr. Sayyid Nuh


Sejak 15 Mei yang lalu, telah genaplah 60 Tahun Nakbah (malapetaka) yang berlaku di Palestin. Hal ini telah menunjukkan kepada kita betapa sedikitnya usaha kita dalam membantu pembebasan rakyat Palestin. Di sini ada dinukilkan wasiat Dr. Sayyid Nuh berkenaan isu Palestin sebelum beliau kembali ke rahmatullah untuk dijadikan pedoman buat diri kita dan seluruh umat Islam khususnya. Hayatilah wasiat ini dengan sepenuh jiwa dan perasaan serta dipraktikkan dalam kehidupan kita seharian.

“Al-Aqsa adalah amanah di atas leher umat ini bermula sejak peristiwa Rasulullah s.a.w. isra’ dan mikraj. Ia adalah amanah yang kita tanggung dan kita masih menanggungnya. Sebarang kecuaian di dalam amanah ini akan membuka pintu kejahatan yang tiada batasnya di dunia. Ada pun di akhirat kita akan ditanya oleh Tuhan, Empunya segala kemuliaan tentang ilmu yang kita ketahui dan kewajipan kita terhadap al-Aqsa."

No comments: