Cinta ILAHI, Celik Hati, Tajam Aqli,

Terbina Peribadi...


September 24, 2008

Meriahnya Masjid UKM!


25 Ramadhan hari ini, lagi 5 hari bulan 'istimewa' ini akan pergi. Entah dapat berjumpa kembali tahun hadapan entah tidak. Tiada apa yang pasti dalam hidup ini melainkan KEMATIAN. 10 hari terakhir ini aktiviti di tempat kerja semakin menjadi-jadi sibuknya, abah pula gering kuat di kampung.


Aduh...apa cerita 10 malam terakhirku ini? Adakah aku termasuk golongan yang disebut Nabi sebagai orang-orang yang rugi kerana datang dan berlalunya Ramadhan tidak dapat mengampunkan dosa-dosaku dan melepaskan diri dari api neraka. Malang sungguh aku jika bercakap lebih cantik dari berbuat.



Dalam duka mengenang diri yang 'cacat' Ramadhan ini, kedatanganku ke Pejabat Aman Palestin petang Selasa lalu rupanya membuka ruang 'ibadat'. DIA dengar keluh kesah dan kesalnya aku jika Ramadhan meninggalkanku sebagai orang yang rugi. ALHAMDULILLAH!

Fanie yang bertugas di pejabat Aman Palestin telah mempelawaku untuk bersama ke Masjid UKM dalam program iktikaf 10 akhir Ramadhan. Bak kecil tapak tangan nyiru kutadahkan, tanpa bantuan fakulti mental dan kognitif, hatiku yang membuat keputusan. JOM!



Meriah sungguh masjid itu. Kagum aku dengan semangat dan ibadat adik-adik siswi dan siswa UKM yang berada di masjid. Lebih kagum aku, apabila memandang ibu muda bersama 2 anak kecil gagah 'beriktikaf' di masjid. Cantiknya, anak-anaknya tidak langsung meragam. Moga besar nanti mewarisi semangat 'masjid' ibu dan ayahnya.


Hannan adalah orang yang paling seronok.Mulutnya yang peramah telah menarik perhatian dan kasih sayang kakak-kakak siswi di situ. Lepas seorang ke seorang di 'interviewnya'. Kakak-kakak belanja gula-gula lagi! Berbuka dan bersahur di masjid, Hannan pasti bersama kakak-kakak itu. Semua kenal dan menyapa Hannan. Ummi sudah hilang dari 'dictionary' Hannan.


Berbuka berjemaah, berniat iktikaf, membaca kitabNya, berterawih, tidur, qiamulail, dan bersahur di Masjid UKM. Balik ke rumah selepas berjemaah Subuh. Cool!


Mengalirkan airmata sesal atas segala dosa (yang terlalu banyak!), memohon maghfirah, agar pintu makrifatullah terbuka lebih luas, merayu-rayu agar tidak dicampak ke api 'Jahannam' itu. Merayu-rayu adalah set dan pola komunikasi yang tepat dengan DIA. Kerana DIA itu 'SUPERIOR', DIA itu 'BOSS', DIA itu 'MAHARAJA'.


Wahai Tuhan yang mengampunkan segala dosa, sesungguhnya aku telah menzalimi diriku sendiri dengan kezaliman yang terlalu banyak, tiada siapa dapat mengampunkanku melainkan ENGKAU, ampunilah aku wahai Tuhan...


Wahai Tuhan yang pengasih dan penyayang, lepaskan aku dari azab neraka dan azab kubur kerana aku ini lemah wahai Tuhan. Aku tidak akan mampu menahan dan menerima siksaMu. Kasihani aku wahai Tuhan...


Wahai Tuhan yang maha besar, kurniakan aku rezeki dari atas, bawah, jauh dan dekat. Jemput dan terimalah aku untuk menghadapMu di bumi Haram sana. Aku rindu Masjid haram, Masjid Nabi dan Al-Aqsa. Rezekikan aku melepaskan rindu pada 3 masjid yang kau cintai itu sebelum tiba saat akhir nafasku...


Rantaian doa bergabung dengan rantaian airmata kesal dan rindu. Moga ada tempatku di sisiMu. Ameen...


Moga Kau limpahkan rahmat dan nikmat keampunan dan lepas dari api neraka kepada Jawatankuasa Masjid UKM yang mengusahakan program iktikaf ini. Barakallahu alaikum!













No comments: