Cinta ILAHI, Celik Hati, Tajam Aqli,

Terbina Peribadi...


January 07, 2010

Agenda 2010...Keluarga Bahagia


2010: Hidup Pilihanku


Firman Allah bermaksud:


"Terimalah semua yang telah Allah berikan kepadamu dan
jadilah kamu
termasuk orang-orang yang bersyukur." (Al-A'raf: 144)



Keluarga besar bahagia...insyaAllah, hingga ke syurga.

Hari ini 9 Januari 2010. Wah! 9 hari sudah berada di tahun baru, 9 hari sudah ditinggalkan 2009 yang penuh kenangan dan pengajaran. Siapa aku hari ini ya? Seorang wanita biasa? Seorang wanita luar biasa? Mana satu ni?

Yelah kan..."Manusia itu tidur sebenarnya; dan hanya akan TERJAGA apabila mati kelak."

Kata-kata Saidina Ali jika tak silap...kena buka kitab semula ni. Hmmmph...tidur rupanya manusia di dunia, leka dan lalai dengan keindahan yang sementara. Aku? Ish... nak berfalsafah di awal tahun ni...letih juga.

Minggu pertama persekolahan, Kaunselor sepanjang hari di Dewan. Mengendalikan Program Maju Diri dan Orientasi Tingkatan 4, 3 dan 5. Penat...dalam bahagia. Menghadap wajah anak-anak remaja yang naif, menghulur pesanan demi pesanan bersandarkan pengalaman. Akhirnya, aku sampai ke titik penyudahnya...

Walaupun aku yang dewasa ini, seorang guru, seorang Kaunselor yang kerap menitipkan pesanan, sekali sekala amaran juga, berlapikkan kasih sayang; sebenarnya aku juga sedang belajar. Belajar untuk memberi, belajar mengikhlaskan pemberian. Aku sedang belajar daripada pelajar-pelajar di depanku ini.

Seni Memberi & Seni Menerima

Kakak tolong adik ye...Baik hati kakak ni. Bijak MEMBERI.


Memberi harus berseni...Menerima juga ada seninya.

"Kita tidak mungkin dapat semua yang kita suka...Oleh itu berusahalah untuk suka semua yang kita dapat"

Memberi...sangat baik.Memberi dengan ikhlas...sangat cantik! Walaupun iklhlas adalah rahsia di sebalik rahsia Allah. Ikhlas itu tak nampak, tapi mampu ditelah. Bila pemberian telah dihulur. Dipuji tak melambung, dikeji tak membantutkan pemberian..Beri tetap beri. Itu antara tanda unsur ikhlas telah berputik, suburkan ia dengan mujahadah dan istiqamah.

Menerima...sangat baik. Menerima dengan sabar...sangat cantik! Di manakah batasan sabar? Sampai bila perlu bersabar? Berbaloikah bersabar? Hmmph...Ada batasankah sabar itu? Ada had masakah menahan sabar? Ada hasilkah bersabar?

Wah...berat nak menerima jika dikatakan sabar itu tiada batasnya. Kena bersabarlah hingga ke akhirnya. Akhir nyawa, akhir dunia. Pahit menahan sabar itu kerana hasil yang menunggu di akhirnya sangat manis. Redha...

Redha suami, redha ibu bapa...menuju kepada redha Tuhan. Tatkala Tuhan telah redha...Syurgalah jawabnya. Berbaloikah sabar? Sangat berbaloi. Sakit yang ditahan, diterima dengan sabar, dalam masa yang sama terus memberi...destinasinya Redha. Maha Suci Allah!


Hidup ini Pemberian, Cara Hidup itu Pilihan


Tersengih-sengih Abang minta maaf, tahu diri tu salahkan. Sabar Angah...Memberi maaf itu indah!


(walaupun cuka pun tak semasam muka Angah tu..he3). Cubaan...


Diberi nyawa, mendapat kehidupan ini adalah kerja Tuhan. Merayulah sehebat manapun, apabila hendak ditarikNya, tidaklah akan lewat sesaat dan tidak pula cepat sesaat.

Apabila nyawa sedang di badan, ketika itu Tuhan menilai kebijaksaanaan insan. Tatkala nyawa terpisah dari tubuh, luruhlah segala milikan, menunggu detik dihisab amalan.

Kebijaksanaan insan bergantung kepada pilihan. Cara hidup mana menjadi amalan, bukan lah sekadar kebetulan. Tetapi bersandarkan ilmu dan kemahiran. Bagaimana melaksana tugas khalifah, memakmur bumi dengan syariat Tuhan.

Pilihan itu perlu dibuat sekarang...sekarang. Bukan di depan Tuhan nanti. Pilihan sekarang akan menentukan nasib badan di negeri abadi itu. Jika impikan syurga yang damai mewah itu, jalan ke syurgalah yang perlu diterokai.

Jika rasa mampu menanggung peritnya api neraka yang berpuluh kali ganda panas dari api dunia ini, silakanlah. Campakkan diri anda ke dalam kebinasaan itu...

Hari ini milik kita...esok adalah impian, semalam adalah kenangan. Esok belum pasti, semalam telah pasti berlalu. Jadi, hari inilah yang utama...mulakan dengan hari ini.


"Sesuatu yang telah ditentukan oleh Allah pasti akan datang, maka janganlah kalian minta disegerakan..." (An-Nahl:1)

Aku...

Peace...2010 and ahead!


Ceria bersama Mawaddah...


Aku memilih untuk bahagia 2010 ini. Dan seterusnya..., Amin...Aku memilih untuk hidup dalam Ad-Din. Aku memilih untuk bahagia dengan Ad-Din. Memang tak semudah berkata...atau menulis...Tetapi, langkah ke seratus itu bermula dengan langkah pertama. 'Begin with an end in mind".

Motif harus tepat, niat mesti suci. Jika tersilap pelaksanaan, boleh diperbaiki. Jika berbeza pendapat, disitulah rahmatnya. Cara pelaksanaan sentiasa menuntut keberanian. Berani untuk jatuh, dan cepat bangun kembali.

Sejarah membicarakan bagaimana Salahuddin Al-Ayyubi ditimpa kekalahan demi kegagalan sebelum dapat menakluki Baitul Maqdis dari jajahan si kuffar.

Bukan gagal yang harus digeruni, tapi gerunlah pada kelemahan diri yang takut gagal. Gagal dan kalah itu tidak salah. Cabarannya adalah kumpulkan kekuatan untuk bangun kembali...Subhanallah!

Aku juga memilih untuk hidup bersama keluarga besarku...mengharap mawaddah dan rahmah. (serius!...dengan Mawaddah! he3). Amin...


" Sedang ia tidak menanggung budi sesiapapun, yang patut dibalas, hanyalah mengharapkan keredhaan Tuhannya Yang Maha Tinggi; dan demi sesungguhnya, ia tetap akan berpuas hati (pada hari akhirat, dengan mendapat segala yang diharapkankannya." (Al-Lail: 19-21)























October 04, 2009

Misi Menjalin Ukhuwwah Menjana Taqwa

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:


“Seseorang Muslim itu adalah saudara Muslim yang lain. Dia tidak menzaliminya dan tidak menyerahkannya (kepada musuh), barangsiapa yang menunaikan hajat saudaranya nescaya Allah akan menunaikan hajatnya, dan barangsiapa yang menghilangkan daripada seorang Muslim satu kesusahan nescaya Allah akan menghilangkan satu kesusahan daripada kesusahan-kesusahannya pada hari kiamat kelak, dan barangsiapa yang menyembunyikan (keaiban) seorang muslim nescaya Allah akan menyembunyikan (keaibannya) pada hari kiamat.” – Riwayat Bukhori dan Muslim

Aidil Fitri tahun ini disambut dengan semangat luar biasa kerana DIA mengurniakan bukan sahaja kehidupan baru untukku dan anak-anak, malahan tersedia peluang dan ruang menjalin silaturrahim dengan orang-orang baru sebagai saudara seaqidah yang selama ini tersembunyi di daerah yang hanya DIA yang tahu. Alhamdulillah. Moga ukhuwwah ini terbina demi menuju destinasi utama, mardhatillah.

16 Syawal 1430H- Jalinan ukhuwwah hikmah Aidil Fitri di Setapak, KL.

Kesesakan jalan raya di MRR2 dan arah perjalanan yang penuh 'misteri' tidak mencacatkan sedikitpun niat untuk menjalin ukhuwwah petang Ahad lalu (misteri kerana pemandunya adalah termasuk dalam golongan 'buta Kuala Lumpur', he3). Menempuh kesesakan dan mencari arah yang betul walaupun sedikit gusar dan terganggu namun apabila mengenangkan betapa besarnya fadhilat menjalin silaturrahim hilang segala kegusaran minda. Sesungguhnya hikmah Aidil Fitri sangat besar dalam menjalin ukhuwwah yang baru dan menyambung ukhuwwah yang terputus.
Menghayati alam Tuhan bersama suami tercinta...

Terima kasih Tuhan kerana mengurniakan bagiku kehidupan baru ini. Walaupun minda sedarku kerap mengingatkan bahawa yang menunggu dan tersedia didepanku adalah ujian demi ujian, aku tetap teguh dengan keyakinan bahawa Engkau lebih tahu apa yang terbaik untuk diriku. Justeru, minda sedar itu akan disokong dengan strategi demi strategi untuk melalui ujian-ujian yang bakal datang. Oleh itu, Tuhan...Persediaan utamaku pastilah seperti sebelum ini ketika dilanda keperitan perasaan...Husnuz Dzan terhadapMu. Mana mungkin Pencipta akan menganiaya ciptaanNya sendiri. Demi mengharap kasihMu...Aku sedia.

Misi Menjalin Ukhuwwah Demi DIA

Misi membina ukhuwwah adalah misi besar, misi aqidah. Tersedia ruang yang luas untuk memberi bukan menerima. Memberi demi dakwah. Oleh itu, ia bukan sebarangan misi. Jika misi ini dilaksanakan tanpa landasan ilmu dan kemahiran, nescaya timbullah matlamat tidak menghalalkan cara. Ruginya...

Aku ingin mengingatkan diri sendiri di sini, selalu menetapkan niat yang betul dan benar dalam menjalin ukhuwwah; dan membetulkan kembali niat yang tersasar. Strategi-strategi memaksimakan 'output' ukhuwwah perlu sangat kita perhati dan amalkan. Mari kita berkongsi...

  1. Cinta semata-mata kerana Allah: Kerana tidak ada kepentingan duniawi di sebaliknya. Allah berfirman di dalam hadis qudsi: Orang-orang yang berkasih sayang kerana keagunganku bagi mereka mimbar-mimbar daripada cahaya, mereka dicemburui oleh para nabi dan orang-orang yang mati syahid (syuhada’).
  2. Berlapang dada: Ia adalah cara yang sangat berguna supaya dapat menerima apa yang dilakukan oleh orang lain tanpa rasa dengki, benci, berniat jahat atau buruk sangka. Begitu juga, supaya kita mampu bersangka baik terhadap saudara-saudara kita. Rasulullah S.A.W. bersabda yang bermaksud: Janganlah kamu saling memutuskan hubungan, saling belakang membelakangi, saling benci membenci serta saling berdengki, dan jadilah hamba-hamba Allah yang bersaudara, tidak halal bagi seorang muslim untuk tidak bertegur sapa dengan saudaranya lebih daripada tiga (hari).
  3. Saling nasihat menasihati dan berpesan-pesan: Sesungguhnya seorang Muslim itu tidak melalui jalan yang aman, akan tetapi dia menempuhi jalan yang penuh dengan kesusahan, liku-liku, halangan dan tipudaya. Selain itu, syaitan manusia dan jin sentiasa menggangu dan menggodanya. Justeru, di dalam menempuhi jalan tersebut, dia sangat memerlukan teman yang mendidik, membimbing, menasihat dan mengingatkannya ketika terlupa dan membantunya ketika ingat. Benarlah firman Allah S.W.T. : “Demi masa. Sesungguhnya manusia berada dalam kerugian. Kecuali mereka yang beriman, beramal soleh, dan berpesan-pesan pada kebenaran jua berpesan-pesan pada kesabaran.”

    Namun begitu, kita perlu menitik beratkan beberapa adab di dalam memberi nasihat dan pesanan:

    • Memberi nasihat dalam keadaan tersembunyi dan bukan di khalayak ramai.
    • Berhikmah (sesuai dengan keadaan) dan menggunakan kata-kata yang baik.
    • Berlemah lembut di dalam memberikan nasihat.
  4. Mengetahui kebaikan dan kelebihan saudara kita: Allah berfirman yang bermaksud, “Dan janganlah kamu lupa kebaikan di antara kamu.” (Al-Baqarah). Seseorang itu akan mampu menyayangi, menerima dan mematuhi seseorang yang lain dengan mengetahui kelebihan dan kebaikan yang terdapat padanya.
  5. Berterus terang: Kerana ia mampu menghilangkan perasaan-perasaan yang boleh mengeruhkan ikatan ukhuwwah dengan syarat ia dilakukan dengan adab-adabnya dan cara yang betul. Justeru, seorang Muslim seharusnya berterus terang dengan saudaranya tentang apa yang terdapat di dalam hatinya kerana mungkin dengan cara itu dia dapat menyembuhkan keresahan hatinya yang pasti akan memberi kesan kepada kelapangan dadanya.

    Kita seharusnya mengambil pengajaran tentang perkara tersebut daripada sirah Baginda Rasulullah S.A.W. dan sahabat-sahabatnya. Semasa Bai’ah Aqabah yang kedua, Abu Haisam bin Attihan berterus terang serta meminta pandangan daripada Rasulullah tentang sesuatu yang berlegar di fikirannya lalu dia berkata: Wahai Rasulallah, sesungguhnya kami mempunyai hubungan sebelum ini dengan orang-orang Yahudi dan kami akan memutuskannya. Justeru, jika kami melakukan sedemikian, kemudian Allah mengurniakan kemenangan kepadamu maka adakah engkau akan meninggalkan kami? Lalu Nabi S.A.W. menjawab sambil tersenyum: Bahkan darah, darah dan kebinasaan, kebinasaan (bagi orang-orang Yahudi). Aku adalah di kalanganmu dan kamu semua adalah di kalanganku, aku memusuhi sesiapa yang kamu musuhi dan tidak akan memusuhi sesiapa yang kamu tidak musuhi.”

  6. Bertolak ansur dan berlemah lembut: Ia seharusnya menjadi akhlak seorang pejuang Islam walaupun terhadap orang yang menzaliminya.
-sekalung terima kasih dan salam ukhuwwah buat ismamesir.com, perkongsian stategi-strategi di atas.

Dr. Abdullah Nasih Ulwan mengatakan “ Ukhuwah merupakan kekuatan iman yang melahirkan perasaan kasih sayang yang mendalam, cinta, penghormatan dan rasa saling tsiqah (baca; saling percaya), terhadap seluruh insan yang memiliki ikatan aqidah Islamiyah yang sama dan juga yang memiliki cahaya keimanan dan ketaqwaan...“

Salam Ukhuwwah
~Ummu Ihsan






















September 20, 2009

Graduasi Universiti 'Ramadhan'...Sijil Dekan?

1 Syawal-Konvokesyen Universiti 'Ramadhan'

29 hari tempoh pengajian di Universiti 'Ramadhan' pada sesi ini walaupun singkat tetapi tetap memberi kesan yang sama seperti sesi-sesi yang sudah. Kesannya samada berjaya atau gagal. gagal itu sudah pasti dimaklumi semua, keluar Universiti tanpa ijazahnya, masa pengajian terbuang begitu sahaja. Rugi!

Berjaya bagi pelajar-pelajar yang telah mengharungi cabaran-cabaran dengan penuh persediaan secara mental, fizikal dan spiritual. Keluar dari Universiti 'Ramadhan' dengan segulung ijazah 'ketaqwaan'. Mabruk!

AWAS!

Tetapi, Awas! Jangan tertipu dengan mudah berpuas hati dengan kejayaan melaluinya. Berjaya ini jua perlu diukur pada pencapaian 'CGPA'nya. Lulus dengan cukup makan, atau 3.0 pointer atau pemegang anugerah Sijil Dekan? Adakah sama bagi yang lulus cukup makan dengan pemegang anugerah Sijil Dekan? Fikirkan...

Apapun tahap kelulusan yang diperolehi, ianya sangat bergantung kepada persediaan rapi yang disusun sebelum melangkah masuk Universiti ini. Persediaan dari segi bahan mentahnya...ilmu. Dan bahan mentah ini akan diadun bersama ramuan-ramuan lain seperti mujahadatun nafs, muraqabah dan muhasabah agar tercanai menjadi amalnya. Nampak seakan rumit. Itulah...High Risk; High Return! Kemanisannya hanya akan dirasai oleh mereka yang berjaya menempuh kepahitannya. Mana mungkin ubat yang pahit boleh memberi kesan selagi tidak dijamah secara berjadual dan disiplin. Hmm...Falsafah nampaknya.

Kita semua adalah pelajar-pelajar yang telah melalui tempoh pengajian di Universiti 'Ramadhan' sesi ini. Maka muhasabahlah diri, tentukan gagal atau berjaya, jika berjaya pula, koreksilah di tahap mana kelulsan kita. Jika gagal...Tepuk dada; Janalah Iman! Kekurangannya tidak lain tidak bukan pada tahap iman dalam diri. Adakah sekadar iman taklid seumur hidup? Atau kita menghadapi krisis 'keyakinan' terhadap perintah Tuhan yang penuh hikmah untuk kehidupan dunia dan akhirat ini...Yang mana satu?

Ummi ingin menyeru kepada diri sendiri terutamanya, dan pembaca di luar sana. Universiti 'Ramadhan' ini hanya terbuka setahun sekali sahaja. Jangan kita memilih menjadi orang-orang yang rugi apabila melaluinya dengan kegagalan demi kegagalan. Setiap tahun yang berlalu, semakin dekat saat nyawa bercerai dari jasad. Pada saat itu, tidak berguna dunia dan isinya, kecuali amalan yang ikhlas dapat menemani kita di sana...

Mari kita hayati bait-bait senikata lagu favourite Ummi di bawah dan renungkan...

Menanti Di Barzakh

Ku Merintih, Aku Menangis,
Ku Meratap, Aku Mengharap,
Ku Meminta Dihidupkan Semula,
Agar Dapat Kembali Ke Dunia Nyata,

Perjalanan Rohku,
Melengkapi Sebuah Kembara,
Singgah Di Rahim Bonda,
Sebelum Menjejak Ke Dunia,

Menanti Di Barzakh,
Sebelum Berangkat Ke Mahsyar,
Diperhitung Amalan,
Penentu Syurga Atau Sebaliknya,

Tanah Yang Basah Berwarna Merah,
Semerah Mawar Dan Juga Rindu,
7 Langkah Pun Baru Berlalu,
Seusai Talkin Penanda Syahdu,

Tenang Dan Damai Di Pusaraku,
Nisan Batu Menjadi Tugu,
Namun Tak Siapa Pun Tahu Resah Penantianku,

Terbangkitnya Aku Dari Sebuah Kematian,
Seakan Ku Dengari,
Tangis Mereka Yang Ku Tinggalkan,
Kehidupan Disini Bukan Suatu Khayalan x2
Tetapi Ia Sebenar Kejadian x2

Kembali Oh Kembali,
Kembalilah Ke dalam Diri,
Sendirian Sendiri,
Sendiri Bertemankan Sepi,

Hanya Kain Putih Yang Membaluti Tubuhku,
Terbujur Dan Kaku,
Jasad Terbujur Didalam Keranda Kayu,
Ajal Yang Datang Dibuka Pintu ,

Tiada Siapa Yang Memberi Tahu,
Tiada Siapa Pun Dapat Hindari,
Tiada Siapa Yang Terkecuali,
Lemah Jemari Nafas Terhenti,
Tidak Tergambar Sakitnya Mati,
Cukup sekali Jasadku Untuk Mengulangi,

Jantung Berdenyut Kencang,
Menantikan Malaikat Datang,
Mengigil Ketakutan Gelap Pekat Dipandangan,
Selama Ini Diceritakan x2
Kini Aku Merasakan x2
Dialam Barzakh Jasad Dikebumikan x2

Kumerintih, Aku Menangis,
Kumeratap, Aku Mengharap,
Kumeminta Dihidupkan Semula,
Agar Dapat Kembali Ke Dunia Nyata

~Ummu Ihsan
1 Syawal 1430H

July 20, 2009

Solar Eclipse...



According to Wikipedia : a solar eclipse occurs when the moon passes between the Sun and the Earth so that the Sun is fully or partially covered. This can only happen during a new moon, when the Sun and Moon are in conjunction as seen from the Earth. At least two and up to five solar eclipses can occur each year on Earth, with between zero and two of them being total eclipses. Total solar eclipses are nevertheless rare at any location because during each eclipse totality exists only along a narrow corridor in the relatively tiny area of the Moon's umbra.

Well, as I heard this morning while driving to school, tomorrow- 22 July 2009 some Asia countries will be able to see a natural phenomenon: a solar eclipse. Subhanallah, all praise be to Him, the Almighty who is controlling every single thing in this world and things up there.

For us Muslims, we are encouraged to observe 'solat sunat gerhana', and better in congregation at the mosque as normally there will be a 'khutbah' recitation. It is highly encouraged to observe these two 'ibadah' as it is 'sunat muakkad'.

I believe this is a sign from millions signs of God's creation. Through this kind of natural phenomenon, we could evaluate our own belief towards His power in controlling all worldly things, it is just the right time to measure the deepness of our 'tauhid rububiyyah'. Are we always with Him? Have we thanked Him for everything we got in this world?

So...I am telling myself and inviting all out there, come let us be thankful to Him and instill a 100% belief to His power in our heart. Everything is possible when He says 'Kun'!

Subhanallah!

July 19, 2009

Buah Tangan Terbaru Tuan Guru.

Segala puji bagi Allah yang telah mengizinkan aku untuk menceduk 'sedikit' khazanah perubatan Islam dari tokoh yang tidak perlu diperkenalkan lagi, yang kukasihi Tuan Guru Dato' Dr. Haron Din. Moga Allah memberi kesihatan dan kelapangan untuk beliau terus berkongsi berkaitan bidang ini.

Baru-baru ini telah diadakan Majlis Pelancaran Buku Terbaru Tuan Guru : Menjawab Persoalan Makhluk Halus: Kaitannya dengan Penyakit & Pengubatan. Isu makhluk halus ini tidak asing dalam kalangan masyarakat terutamanya budaya dan adat Melayu itu sendiri. Bermacam-macam andaian dan gambaran dibuat dan akhirnya berubah menjadi kepercayaan generasi turun temurun. Sayangnya, tidak semua andaian dan gambaran tersebut benar, malahan ada yang tersasar jauh daripada landasan Quran dan hadith.

Marilah kita bersama-sama cuba memahami isu ini secara benar melalui landasan sahih yang dituntut, iaitu Quran dan Hadith. Justeru, buku terbaru Tuan Guru ini sangat layak dijadikan panduan kita memahami isu ghaib ini. Inilah dia...






Berikut dipetik Mukadimah Tuan Guru dari buku tersebut;

MUKADIMAH PENGARANG

Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani. Segala puji hanya bagi Allah, Tuhan semesta alam. Kepada-Nya kami meminta pertolongan dalam urusan-urusan dunia dan akhirat. Selawat dan salam ke atas Rasul kami yang sangat amanah, penghulu kami Nabi Muhammad SAW, keluarga dan para sahabat baginda sekalian.

Saya sering menerima soalan sama ada melalui surat atau yang bertanya terus di majlis-majlis kuliah. Di antara soalan yang berulang kali diajukan kepada saya ialah yang berkaitan dengan makhluk halus seperti jin, qarin, sihir, rasukan, bunian, saka, orang mati hidup semula, penggunaan tangkal, penyakit yang disebabkan oleh jin dan sebagainya.

Mereka meminta pendapat saya walaupun ramai alim ulama’ lain di Malaysia yang boleh memberikan jawapan yang sama dengan saya.

Memandangkan persoalan ini berhubung kait dengan soal aqidah, maka menjadi suatu kefarduan kepada saya untuk menjelaskannya. Persoalan masyarakat ini perlu dirungkaikan supaya mereka tidak terus terjebak dengan amalan syirik.

Masyarakat perlu didedahkan dengan maklumat daripada sumber yang sahih terutama sekali jika ia melibatkan soal aqidah.

Saya telah berusaha menjawab setiap persoalan dengan berlandaskan hujah-hujah yang sahih daripada al-Quran dan al-Hadith.

Kesemua jawapan ini sebenarnya merupakan respon saya kepada soalan yang diajukan melalui akhbar Harakah. Saya telah melahirkan hasrat saya kepada Ahli Jawatankuasa Darussyifa’ supaya koleksi soal jawab yang pernah tersiar dalam akhbar Harakah ini dibukukan.

Saya amat berharap usaha pembukuan soal jawab ini dapat memberikan manfaat yang besar kepada masyarakat bahkan saya berdoa moga buah tangan saya ini dapat mengurangkan seterusnya menghapuskan fahaman dan amalan khurafat yang masih berakar umbi di dalam masyarakat kita.

Hanya Allah SWT sahaja yang Maha Sempurna lagi Maha Benar, manakala yang salah dan silap adalah daripada insan yang bersifat lemah.

Semoga Allah SWT mengampuni kesalahan dan kekhilafan yang tidak disengajakan. Kepada Allah SWT kita memohon rahmat dan berkat. Semoga Allah SWT sentiasa mengabulkan usaha kita dan menjadikannya sebagai amalan soleh.

Ikhlas daripada saya,

Dato’ Dr. Haron Din
Pengasas dan Penasihat Darussyifa’
30 Mac 2009M / 3 Rabiul Akhir 1430H

ISI KANDUNGAN BUKU INI
======================

BAB-1: PERSOALAN UMUM BERKAITAN MAKHLUK HALUS
BAB-2: PERSOALAN BERKAITAN JIN, BUNIAN, QARIN DAN SAKA
BAB-3: PERSOALAN BERKAITAN TANGKAL
BAB-4: PERSOALAN BERKAITAN SIHIR
BAB-5: PERSOALAN BERKAITAN ILMU GHAIB
BAB-6: PERSOALAN UMUM
BAB-7: DOA-DOA DAN AYAT-AYAT AL-QURAN UNTUK MENGATASI GANGGUAN MAKHLUK HALUS